Tuesday, May 13, 2014

Hukum Pengambilan Dadah Dari Perspektif Islam

            Al Quran dan Hadis Rasulullah (SAW) tidak menyatakan secara langsung tentang hukum atau larangan berkaitan dadah. Tetapi secara umum, Al-Quran dan Hadis melarang setiap muslim mendekati perbuatan-perbuatan yang keji dan merosakkan diri.

Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang menjadi dalil haramnya benda-benda yang memabukkan hanya dikhususkan kepada arak sahaja. Oleh kerana itu, di dalam penetapan hukum selain daripada Al-Quran dan Hadis, Jumhur Ulamak telah berpendapat bahawa Ijmak Ulamak dan Qias juga merupakan sumber yang ketiga dan keempat  bagi menentukan sesuatu hukum. Oleh kerana itu, hukum dadah tidak dapat ditentukan dengan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis, tetapi akan ditentukan daripada sumber yang keempat iaitu Al-Qias.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebutkan bahawa :"Tiap-tiap yang memabukkan adalah haram" dimana  tiap-tiap benda yang memabukkan walau dari apa jenis sekalipun ianya dinamakan juga "khamar". Pengertian arak adalah luas termasuklah apa saja benda yang digunakan boleh mengganggu fikiran dan mengeluarkan akal daripada tabiatnya yang sebenar.

Dalam hubungan ini, dadah mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap perasaan dan akal fikiran penggunanya, Mereka yang mengambil dadah akan lupa kepada dirinya, agamanya, keluarganya, dan dunianya serta tenggelam dalam dunia khayalan. Lebih daripada itu, dadah juga akan mengganggu kemurniaan jiwa dan menghancurkan moral, keharmonian keluarga, meruntuhkan ibadah dan melemahkan perasaan untuk melaksanakan kewajipan kepada Allah (S.W.T.), diri, keluarga dan masyarakat. Pengharaman dadah bukan sahaja kepada sesiapa yang memakannya malahan juga kepada sesiapa yang berniaga, membuat, mengedar, memunggah dan sebagainya. Sebagai perbidalan, sabda Rasulullah (S.A.W.) ertinya:-

"Sesungguhnya Allah (S.W.T.) telah mengharamkan arak dan harganya."     ,,dan sabdanya lagi;

"Allah (S.W.T.) telah laknatkan arak sepuluh perkara, orang yang memerahnya, tempat pemerahan, orang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang   ditawarkan kepadanya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang   yang memakan harganya, orang yang membelinya dan prang yang dibelikan  kepadanya".
 
 
Ustz AI  - Haram Dadah

Doktor Ahmad Sayuqi Al-Fanjari di dalam rencananya yang disiarkan oleh Majalah Al-Wayul Islam keluaran Februari 1985 menyebutkan bahawa daripada dalil-dalil yang disebutkan, dadah itu adalah lebih besar haramnya daripada arak dan tiga sebab utamanya ialah:-
  1. Dadah menghilangkan akal kerana ianya bukan sahaja membawa kepada mabuk tetapi jugak membawa kepada hilang akal, dari itu ia adalah haram;
  2. Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran pada permulaannya, dan juga perbelanjaannya lebih besar daripada arak, maka dari itu ia adalah haram; dan
  3. Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana ianya menyebabkan si penagih mati lebih awal maka dengan sebab itu adalah haram
Menggunakan dadah dapat diibaratkan sebagai perbuatan membinasakan dan membunuh diri. Sedangkan Allah (S.W.T.) di dalam Surah An-Nisa; ayat 29 bermaksud:-

"Janganlah kamu membunuh diri kamu kerana sesungguhnya Allah (S.W.T.)  maha belas kasihan kepada kamu".

FirmanNya lagi di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 195) bermaksud:-

"Dan jangan kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan".

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat yang ke 126 yang diadakan pada 24 Februari 1983, setelah mengimbangkan pendapat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal Agama Islam telah membuat keputusan berikut:-

"Sebarang penyalahgunaan, termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya disisi syarak adalah haram, dan dengan itu adalah ditegah sama sekali dan dadah hanya boleh digunakan untuk tujuan perubatan yang sah mengikut syarak".

Daripada dalil-dalil  dan penjelasan di atas, jelas kepada kita bahawa dadah lebih bahaya daripada arak. Hukum menggunakan dadah menurut Islam adalah haram. Perbuatan menggunakan dadah membawa kepada kebinasaan diri dan amat dimurkai oleh Allah (S.W.T.) serta dosanya amatlah besar.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment