Saturday, August 9, 2014

Sejarah Dadah di Malaysia

           Dadah bukanlah perkara baru kepada kehidupan seharian manusia kerana saban hari kita terlibat dalam penggunaan dadah berbentuk ubat ubatan yang dibenarkan atau mendapat maklumat berkaitan peristiwa yang berlaku melibatkan dadah terlarang. Mengikut sumber sejarah, dadah dikaitkan dengan alam fantasi oleh masyarakat zaman dahulu dan menjadi sumber keseronokan atau hiburan tetakala tiada aktiviti yang hendak dilakukan selepas penat daripada bekerja. Mereka hanya mencari keseronokan tanpa mengetahui keburukan akibat pengambilannya terutama ketagihan yang amat sukar untuk dipulihkan.

Di Malaysia, penyalahgunaan dan penagihan dadah berkait rapat dengan sejarah dan penjajahan Inggeris di Tanah Melayu. Sejak awal abad ke 19 penjajah  Inggeris mula meneroka lombong-lombong bijih timah, membuka ladang getah secara besar-besaran dan memerlukan tenaga buruh yang ramai. Oleh kerana kekurangan tenaga buruh, pekerja Cina telah dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan pekerja India dibawa masuk untuk bekerja di ladang-ladang getah. Buruh asing ini terutamanya pekerja cina telah mengenali dan mengambil dadah sejak dari negara asal mereka bagi memenuhi masa lapang untuk berseronok dan berkhayal. Kebanyakan mereka ini mengambil candu yang begitu mudah diperolehi dari negara asal mereka. Penagihan candu dikalangan buruh cina telah mula ketara dan menimbulkan masalah apabila berlaku  kemasukan candu dari negara Cina ke Tanah Melayu dalam bilangan yang banyak serta kian meningkat sehingga sukar untuk dikawal.

 
Pada tahun 1910 kerajaan Inggeris telah mengambil alih tugas mengawal kemasukan candu. Kedai-kedai-kedai menjual candu dan rumah-rumah menghisap candu “Opium Dens” telah dilesen dan didaftarkan termasuklah juga dengan penagih-penagih candu. Kerajaan juga telah mengenakan cukai keatas aktiviti ini sehinggalah kedai-kedai ini dikenali sebagai “Kedai Candu Kerajaan” atau “Pajak Candu”. Pada tahun 1925 selepas konvensyen Geneva, perdagangan candu dihadkan hanya kepada penagih candu yang berdaftar sahaja. Pada tahun 1929, terdapat 73,000 penagih candu berdaftar di negeri-negeri Selat dan 52,313 di Negeri-Negeri Bersekutu. Pada 1934, tindakan yang lebih drastik telah diambil, dimana hanya penagih candu yang telah disahkan oleh pegawai perubatan sahaja dibenarkan membeli candu dan pada 1945, telah dikuatkuasakan larangan melalui undang-undang.

Selepas perang dunia kedua, kerajaan Inggeris terpaksa mengharamkan sama sekali penjualan dan pengendaran candu dimana kesan daripada tindakan ini telah menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan candu. Kerajaan Inggeris terpaksa mengambil tindakan yang lebih serius untuk mengharamkan kegiatan menjual dan menghisap candu dengan lebih berkesan iaitu dengan mewujudkan  Akta Dadah Berbahaya yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1952. Mengikut akta ini, sesiapa yang memiliki dan menghisap candu melakukan suatu kesalahan dan mahkamah khas ditubuhkan bagi mengendalikan kes-kes melibatkan candu dimana hakim yang bertugas dikenali sebagai Hakim Mahkamah Candu.

Trend penagihan telah bertukar corak pada akhir tahun 1960an dimana sebelum ini penagihan candu hanya tertumpu kepada golongan tua sahaja, tetapi selepas akhir tahun 1960an golongan belia telah mula melibatkan diri dengan penagihan yang yang berlainan daripada candu iaitu mereka mula menagih heroin, morfin, ganja dan pil-pil psikotrapik. Keadaan ini berlaku disebabkan kemasukan pengaruh budaya barat melalui pengaruh kumpulan-kumpulan muzik barat yang mengamalkan pengambilan dadah terlarang. Sebagaimana diketahui, segitiga emas “Golden Triangle” melibatkan negara-negara di utara Thailand merupakan negara pengeluar popi terbesar dimana terdapat askar-askar Amerika yang terlibat dengan peperangan di Vietnam telah menghabiskan cuti di Malaysia dan membawa masuk dadah untuk mengurangkan tekanan yang dialami.  Mereka juga diketahui memperkenalkan dadah kepada belia di Malaysia dan setelah peperangan di Vietnam tamat sindikit pengedaran dadah telah mula mencari pasaran baru di Asia Tenggara termasuklah Malaysia untuk mencari keuntungan.

Fakta di atas merupakan catatan sejarah bagaimana dadah boleh berada di Malaysia yang Udin perolehi melalui pembacaan buat maklumat semua. Pada entri yang lain nanti Udin akan menulis tentang tren penyalahgunaan dadah masa kini yang semakin membimbangkan kerana kebanyakan dadah yang disalahguna merupakan dadah jenis sintetik yang mana kesannya lebih bahaya daripada dadah berbentuk tradisional.






Golden Triangle 

Dikesempatan ini juga Udin juga ingin berkongsi maklumat melalui video di bawah iaitu pengalaman semasa berada di muzium Hall of Opium yang sempat Udin lawati.  Kepada rakan pembaca, sekiranya berpeluang ke Chiang Rai Thailand nanti jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi muzium ini. Banyak maklumat tentang sejarah awal kemasukan dan pengambilan dadah jenis opiod dipamirkan dan ianya merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik dan berfaedah  yang boleh diperolehi di muzium ini. Selain itu Udin juga kongsikan bagaimana pokok popi ditanam dengan meluasnya di kawasan Golden Triangle.          
 


 



Muzium  Hall Of Opium 


Ladang popi

1 comment: