Tuesday, May 20, 2014

Jom Lawak - Pak Pandir dan Motosikal Baru

Pak Pandir baru sahaja membeli motosikal baru. Dengan rasa bangga Pak Pandir pun bersiar-siar di pekan. Sampai di depan lampu isyarat, Pak Pandir berhenti kerana lampu merah. Apabila lampu hijau, semua kenderaan mula bergerak tetapi Pak Pandir masih tetap tidak berganjak dari tempatnya. Lalu datang seorang polis dan bertanya pada Pak Pandir.


Polis: "Kenapa tak jalan lagi? Kan lampu hijau tu?"


Pak Pandir: "Maaf encik, belum ada warna lampu yang saya suka lagi. Bila sudah keluar warna yang saya suka, saya jalan." (tersenyum)


Polis: "Mampus kalau macam ni!" (mengetuk dahi)

Sunday, May 18, 2014

Sinar Di Hujung Kelam

                 Sinar Di Hujung Kelam merupakan sebuah filem pendek yang menjadi kebangaan Udin serta rakan-rakan seperjuangan di alam pengajian yang mana Udin terlibat dalam produksi dan berpeluang membintangi filem ini.  Filem ini mengisahkan keazaman seorang bekas banduan penagih dadah untuk kembali ke pangkal jalan menghadapi cabaran yang amat besar apabila terpaksa berhadapan dengan presepsi buruk masyarakat, dibuang oleh keluarga dan ditinggalkan oleh isteri. Hanya rakan yang pernah menagih bersamanya yang sudi menerima untuk kembali dan melakukan aktiviti lampau. Berbekalkan kekuatan diri, penghayatan agama serta bimbingan dan kaunseling berjaya merealisasikan matalamat diri untuk kembali kepangkal jalan dan pulih dari penagihan.

Apa yang ingin Udin kongsikan bersama pada entry kali ini adalah realiti sebenar seorang penagih. Mereka ingin kembali kepangkal jalan, tetapi tidak mendapat sokongan dari mereka-mereka yang terdekat yang memungkinkan golongan ini kembali kepada tabiat asal mereka. Selain sokongan dan penerimaan masyarakat serta keluarga, keperluan kaunseling amatlah perlu bagi membimbing mereka membina kekuatan diri menghadapi cabaran yang amat besar untuk dilalui.

Kepada pembaca sekalian, terima dan berikanlah sokongan yang tidak berbelah bagi kepada golongan ini kerana mereka amat-amat memerlukan sokongan demi mengekalkan kepulihan. Kepada keluarga yang menghadapi masalah dengan penagihan, sila rujuk dan berjumpa kaunselor berdekatan bagi mendapatkan nasihat dan maklumat bagi membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Kepada rakan-rakan kaunselor Udin, filem ini amat sesuai untuk dijadikan bahan pelajaran kerana ianya penuh dengan maklumat dan realiti kehidupan seorang bekas penagih. Udin tidak dapat memuat turun filem ini di laman blog kerana ianya menjadi hakmilik penuh penerbit. Jika diizinkan, mungkin satu hari nanti kita akan sama-sama dapat menontonnya. Buat rakan-rakan yang sama-sama berusaha merealisasikan filem pendek ini, Udin kongsikan beberapa foto dan lagu tema filem ini buat penghilang rindu diantara kita semua. Lagu ini dinyanyikan oleh adik Wani yang sedang menempa nama dalam bidang nyanyian, merupakan anak jati kampung Udin...



 

  
Rapuh - Adik Wani
Wassalam.

Friday, May 16, 2014

Salam Hari Guru 2014

               Guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain.  Inilah ungkapan yang biasa Udin dengar  masa kecil-kecik dahulu. Seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang pelajaran dan pengunaan bahasa-bahasa indah, ungkapan sebegini jarang didengar. Hari ini ungkapan Guru, pencetus kreativiti, penjana inovasi disebut dimana-mana sahaja. Walaupun agak sukar untuk difahami oleh sesetengah pelajar, namun ianya merupakan suatu ungkapan yang menggambarkan betapa pengorbanan, rasa terima kasih dan harapan  pelajar  terhadap guru yang telah berjasa membentuk dan mendidik mereka.

Sejarah Perayaan Hari Guru sebenarnya telah bermula sejak tahun 1972 dan sehingga tahun ini ianya telah disambut sebanyak 42 kali. Kejayaan yang kita kecapi selama ini adalah berkat usaha guru yang mengajar dan mendidik kita. Sungguh mulia kerja guru sehinggalah sekiranya tiada mereka siapalah kita. Tugas guru bukanlah semudah yang disangka. Banyak persiapan dan cabaran yang perlu dihadapi bagi merealisasikan kejayaan yang ingin dicapai. Pengalaman Udin menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana, Puchong pada awal tahun 2014 membuatkan Udin sedar betapa besarnya cabaran yang dihadapi oleh guru-guru sekarang. Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada pelajar, kerjasama dan peranan setiap orang adalah perlu bagi menjamin kejayaan anak-anak. Janganlah hendaknya melepaskan tanggungjawab  hanya kepada pihak sekolah serta guru-guru sahaja serta meletakkan kegagalan kepada mereka. Bekerjasamalah demi menjamin kejayaan anak-anak kita semua.

Sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik dan mengajar Udin sejak di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti sehinggalah Udin berada dalam situasi hari ini, dengan besar hati Udin titipkan  ole-ole ikhlas  ini...

Puisi Buat Guru...

Tak lupa juga Salam Hari Guru buat rakan-rakan guru Udin yang telah banyak memberi kerjasama dan membantu Udin semasa kita berada di alam pengajian.  Jutaan terima kasih buat cikgu Aini dan semua guru Kaunseling Sek. Men. Kebangsaan Putra Perdana, Puchong  yang banyak membantu Udin semasa menjalani latihan amali. Cikgu Aishah yang memberi peluang mengadakan program di Sek. Men. Seri Pagi dan cikgu Mai yang sudi membawa Udin sampai ke Sek. Men. Binjai, Trengganu. Tak lupa juga buat rakan-rakan cikgu yang lain iaitu cikgu Norita, Cikgu Husna, Cikgu Zie, Cikgu Hjh Norliza, Cikgu Apis Nani, Cikgu Zek (Ostat), Cikgu Kimi, Cikgu Kak Moon dan cikgu Zama yang sangat tabah menghabiskan sebahagian masa kuliah di katil hospital serta semua guru-guru yang menatap skrin blog Udin ini. Sesungguhnya jasa kalian amat besar dalam mencorak minda dan masa depan seseorang individu.

Wassalam. 

16 Mei 2014

Thursday, May 15, 2014

Kesan Pergantungan Psikologi dan Fizikal Dadah

            Kali ini Udin akan menerangkan sebahagian daripada kesan yang akan dialami oleh individu yang mengambil dadah. Pada entry terdahulu Udin telah jelaskan ciri-ciri dadah yang disalahguna. Diantaranya adalah pergantungan psikologi dan fizikal. Apabila seseorang itu mengambil dadah, samada suka atau tidak individu tersebut akan mengalami kesan pergantungan kepada dadah. Terdapat dua kesan pergantungan yan akan dialami iaitu :-

        1. Pergantungan psikologi, dan
        2. Pergantungan fizikal.

Pergantungan Psikologi

            Pergantungan psikologi merujuk kepada perasaan “memerlukan” atau dalam istilah biasa adalah ‘gian’ kepada dadah. Individu yang mengalami pergantungan psikologi terhadap dadah yang tertentu selalunya merasakan dirinya tidak dapat berfungsi secara normal tanpa penggunaan berterusan dadah tersebut.

Bagaimana pula pergantungan ini boleh berlaku ?. Didalam otak manusia terdapat tapak ganjaran yang menyebabkan seseorang rasa seronok. Dopamin merupakan neurotransmiter yang menyebabkan keseronokan. Apabila seseorang berasa seronok untuk melakukan sesuatu, maka ia akan mengulangi semula perbuatan tersebut. Apabila seseorang mengambil dadah, dopamin akan dibebaskan dengan kadar yang banyak dan disebabkan itulah terdapat dorongan untuk mendapatkan kepuasan/keseronokan diri yang disebut sebagai ‘euforia’. Tanpa disedari, keseronokan yang dihasilkan oleh dadah merupakan “keseronokan palsu”. Ada diantara penagih dadah yang telah pulih dari penagihan, tetapi gagal untuk mengawal diri kerana faktor keseronokan yang dirasakan sehingga menyebabkan ia kembali menagih ataupun ‘relaps’. Dalam istilah atau bahasa penagih, mereka menyebutnya sebagai ‘Rindu’ terhadap dadah.

Dalam kehidupan biasa manusia, keseronokan semulajadi  yang  dicapai adalah melalui makanan yang enak dan hubungan sex. Ada pendapat yang mengatakan apabila penagih mengambil dadah, ia dapat mencapai euforia sebanyak tiga kali ganda dari keseronokan semulajadi hubungan sex. Disebabkan faktor ini jugalah penagih meneruskan aktiviti mereka. (kepada pembaca sekalian, jangan lah pula cuba mengambil dadah untuk mendapatkan euforia jenis ini kerana ada cara lain yang boleh dilakukan selain mengambil dadah). Udin percaya pendapat ini mungkin ada kebenarannya kerana kalau kita lihat banyak aktiviti yang berkaitan dadah dan sex berlaku dilapurkan di mass media.


Penghasilan Dopamin


Pergantungan Fizikal

            Pergantungan fizikal merujuk kepada perubahan yang berlaku pada badan selepas penggunaan berterusan dadah. Pergantungan ini merupakan proses fisiologi yang biasa berlaku dimana jika pengambilan dadah ini dihentikan ianya akan  menimbulkan gejala-gejala ‘tarikan’. Sindrom tarikan merupakan tanda-tanda yang dialami oleh individu yang terbentuk  secara tindakbalas semulajadi terhadap sesuatu dadah yang diambil dan ianya berlaku apabila pengambilan dihentikan atau dos yang diambil tidak mencukupi.

Diantara gejala yang biasa berlaku adalah sakit perut, muntah-muntah, menggeletar, berhingus, mata merah dan sebagainya. Gejala ini berbeza mengikut jenis dadah yang diambil. Gejala ini akan berlaku dalam suatu tempoh tertentu setelah pengambilan terakhir dan apabila gejala ini berlaku, penagih akan menyambung pengambilan secara berterusan.

Kesan Pergantungan

           Daripada maklumat pergantungan psikologi dan fizikal, kita dapati pemikiran dan badan penagih telah bergantung sepenuhnya kepada dadah. Sebab itulah seorang penagih sukar untuk meninggalkan tabiat pengambilan dadah dan pulih sepenuhnya. Satu lagi sifat semulajadi dadah adalah keberkesanannya akan berkurangan setelah digunakan secara berterusan. Oleh itu penagih akan mengambil dos yang lebih untuk mendapatkan kesan yang sama. Apabila pengambilan yang berlebihan dibuat, ianya akan menghasilkan tindakbalas depresi pernafasan yang boleh mengakibatkan kematian. Inilah yang disebut ‘overdose’ sepertimana yang selalu kita lihat ada penagih yang mati disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan.


Overdose - Nick Real Story

Wassalam.

Jom Lawak - Pak Pandir Berjual Durian

Pada suatu musim durian, Pak Pandir bercadang memulakan perniagaan buah durian di tepi lebuhraya.

Setelah berjaya mendapatkan bekalan durian, maka terpacaklah bangsal durian Pak Pandir di tepi Lebuhraya berhampiran kampungnya.

Setelah beberapa ketika datanglah seorang pelanggan bertanyakan harga durian-durian yang dijual Pak Pandir.

Diberitahu akan Pak Pandir harganya dan pembeli tersebut bersetuju dengan harga tersebut dan seterusnya meminta Pak Pandir memasukkan kesemua durian yang dijual kedalam traknya.

Tiba-tiba Pak Pandir kelihatan marah-marah seraya memberitahu pembeli tersebut,

Pandir : "Minta maaf en! saya tak jadilah jualkan kepada en. durian-durian ini."

Pembeli : "Kenapa pula? Tadikan dah setuju dengan harganya... saya bayarlah kesemuanya!"

Pandir : "Habis kalau en dah beli kesemuanya apa lagi saya nak jual?"

Pembeli : "???"

Wednesday, May 14, 2014

Demi Masa - Jauhi Dadah...

Kesempatan kali ini Udin ingin membawa pembaca sekalian untuk menghayati bait-bait lagu nyanyian Raihan yang bertajuk “Demi Masa”.

Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Yang beriman dan beramal soleh

Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran...


Korus
Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan
Kerna ia takkan kembali...

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit;
Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin;
Lapang sebelum sempit;
Hidup sebelum mati........... 2x


Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Yang beriman dan beramal soleh.


Demi Masa - Raihan

Meneliti maksud surah Al-Asr yang bermaksud : “ Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
(Al-Asr : 1 – 3).

Sekiranya diperhatikan, terjemahan surah di atas memberi penekanan terhadap beberapa perkara iaitu :-

ü  Allah SWT bersumpah dengan masa;
ü  Allah SWT menyatakan sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan rugi. Sebagai perbandingan, Allah SWT meletakkan keadaan negatif (rugi) kepada manusia dengan bersumpahkan masa;
ü  Allah SWT memberi pengecualian rugi kepada golongan yang berikut :-

o   Orang yang beriman;
o   Orang yang beramal soleh;
o   Orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran;
o   Orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran.

Berpesan-pesan boleh difahami dalam bentuk menyampaikan perkara yang dipercayai dan diamalkan atau dijauhkan mengikut kemampuan dan kemahiran sesuatu bidang yang kita miliki. Ini bermaksud proses komunikasi dan penyebaran maklumat terhadap kebaikan dan menghalang kemungkaran ini perlu dilakukan. Sekiranya tidak, kita akan menjadi orang yang rugi.

Melalui video tadi kita dapat melihat fenomena yang sedang berlaku dikalangan anak bangsa kita. Mereka terjerumus di dalam kancah penagihan yang agak kronik. Sebagai manusia biasa, marilah kita sama-sama berdoa agar mereka-mereka ini diberikan hidayah untuk kembali kepangkal jalan kerana setiap individu mempunyai kapasiti untuk berubah dan melakukan peningkatan. Walaubagaimanapun segala perubahan adalah dalam bentuk proses dan sememangnya sesuatu proses menuntut pengorbanan. Sama-samalah kita membantu mereka-mereka yang memerlukan bantuan demi melihat pengakhiran yang baik.

Wassalam.

·        * JAKIM

Tuesday, May 13, 2014

Hukum Pengambilan Dadah Dari Perspektif Islam

            Al Quran dan Hadis Rasulullah (SAW) tidak menyatakan secara langsung tentang hukum atau larangan berkaitan dadah. Tetapi secara umum, Al-Quran dan Hadis melarang setiap muslim mendekati perbuatan-perbuatan yang keji dan merosakkan diri.

Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang menjadi dalil haramnya benda-benda yang memabukkan hanya dikhususkan kepada arak sahaja. Oleh kerana itu, di dalam penetapan hukum selain daripada Al-Quran dan Hadis, Jumhur Ulamak telah berpendapat bahawa Ijmak Ulamak dan Qias juga merupakan sumber yang ketiga dan keempat  bagi menentukan sesuatu hukum. Oleh kerana itu, hukum dadah tidak dapat ditentukan dengan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis, tetapi akan ditentukan daripada sumber yang keempat iaitu Al-Qias.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebutkan bahawa :"Tiap-tiap yang memabukkan adalah haram" dimana  tiap-tiap benda yang memabukkan walau dari apa jenis sekalipun ianya dinamakan juga "khamar". Pengertian arak adalah luas termasuklah apa saja benda yang digunakan boleh mengganggu fikiran dan mengeluarkan akal daripada tabiatnya yang sebenar.

Dalam hubungan ini, dadah mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap perasaan dan akal fikiran penggunanya, Mereka yang mengambil dadah akan lupa kepada dirinya, agamanya, keluarganya, dan dunianya serta tenggelam dalam dunia khayalan. Lebih daripada itu, dadah juga akan mengganggu kemurniaan jiwa dan menghancurkan moral, keharmonian keluarga, meruntuhkan ibadah dan melemahkan perasaan untuk melaksanakan kewajipan kepada Allah (S.W.T.), diri, keluarga dan masyarakat. Pengharaman dadah bukan sahaja kepada sesiapa yang memakannya malahan juga kepada sesiapa yang berniaga, membuat, mengedar, memunggah dan sebagainya. Sebagai perbidalan, sabda Rasulullah (S.A.W.) ertinya:-

"Sesungguhnya Allah (S.W.T.) telah mengharamkan arak dan harganya."     ,,dan sabdanya lagi;

"Allah (S.W.T.) telah laknatkan arak sepuluh perkara, orang yang memerahnya, tempat pemerahan, orang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang   ditawarkan kepadanya, orang yang menuangkannya, orang yang menjualnya, orang   yang memakan harganya, orang yang membelinya dan prang yang dibelikan  kepadanya".
 
 
Ustz AI  - Haram Dadah

Doktor Ahmad Sayuqi Al-Fanjari di dalam rencananya yang disiarkan oleh Majalah Al-Wayul Islam keluaran Februari 1985 menyebutkan bahawa daripada dalil-dalil yang disebutkan, dadah itu adalah lebih besar haramnya daripada arak dan tiga sebab utamanya ialah:-
  1. Dadah menghilangkan akal kerana ianya bukan sahaja membawa kepada mabuk tetapi jugak membawa kepada hilang akal, dari itu ia adalah haram;
  2. Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana ianya membawa pengangguran pada permulaannya, dan juga perbelanjaannya lebih besar daripada arak, maka dari itu ia adalah haram; dan
  3. Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana ianya menyebabkan si penagih mati lebih awal maka dengan sebab itu adalah haram
Menggunakan dadah dapat diibaratkan sebagai perbuatan membinasakan dan membunuh diri. Sedangkan Allah (S.W.T.) di dalam Surah An-Nisa; ayat 29 bermaksud:-

"Janganlah kamu membunuh diri kamu kerana sesungguhnya Allah (S.W.T.)  maha belas kasihan kepada kamu".

FirmanNya lagi di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 195) bermaksud:-

"Dan jangan kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan".

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat yang ke 126 yang diadakan pada 24 Februari 1983, setelah mengimbangkan pendapat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal Agama Islam telah membuat keputusan berikut:-

"Sebarang penyalahgunaan, termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya disisi syarak adalah haram, dan dengan itu adalah ditegah sama sekali dan dadah hanya boleh digunakan untuk tujuan perubatan yang sah mengikut syarak".

Daripada dalil-dalil  dan penjelasan di atas, jelas kepada kita bahawa dadah lebih bahaya daripada arak. Hukum menggunakan dadah menurut Islam adalah haram. Perbuatan menggunakan dadah membawa kepada kebinasaan diri dan amat dimurkai oleh Allah (S.W.T.) serta dosanya amatlah besar.

Wassalam.

Jom Lawak - Kisah Pelancong USA di Malaysia

Satu hari seorang pelancong USA dengan eksyennya menyewa teksi untuk melancong di KL. Pemandu teksi itu membawanya ke Menara Daya Bumi.

"Mr John inilah menara Dayabumi.. dibuat dari mammar putih.. bila malam ia berkilauan.. kami ambil masa setahun untuk menyiapkannya.." kata pemandu teksi dengan bangga.

"Ceh.. kalau di USA.. bangunan ini kami boleh siapkan dalam masa sebulan sahaja."" Kata pelancong tadi dengan belagaknya. Pemandu teksi tadi terkedu. Untuk menunjukkan kecanggihan KL pelancong tadi dibawa ke Menara KL.

"Mr John inilah Menara Telekomunikasi yang canggih. Kami mengambil masa err.. dua bulan untuk menyiapkannya."" Kata pemandu teksi sambil menyerkap jarang untuk melawan keegoan pelancong USA tadi.

"Oh.. kalau di USA bangunan ini dapat disiapkan dalam masa dua minggu sahaja."" Kata pelancong tadi dengan belagaknya.

Merah padamlah pemandu teksi tadi. Sambil memandu pemandu teksi tadi terus meluncur melintasi KLCC. Sambil bersiul pemandu teksi tadi tidak berkata apa-apa pun melainkan terus memandu.

Pelancong tadi dengan tersengih.. menyindir..

"Che Mat.. berapa lama masa diambil oleh negara kamu untuk menyiapkan bangunan itu?" Kata pelancong tadi sambil menunjukkan kearah KLCC.

"APA?!!!" kata pemandu teksi tadi.. "Mana bangunan?" kata Pemandu itu lagi kehairanan.

"Itu.. yang tinggi tu.." Kata pelancong tadi sambil menunjukkan KLCC.

"La... Usupadora.. entahlah Mr John.. semalam saya lalu kat sini takda pulak bangunan ini. Bila pulak bangunan ini tumbuh.. his.. impossible!" Kata pemandu teksi itu sambil mengerutkan muka.

Mr John terdiam sambil menyesal.

* Cerita lawak

Monday, May 12, 2014

Apa Itu Dadah ?


          Mungkin ada dikalangan ahli masyarakat disekeliling kita yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan ianya secara tidak langsung membawa kepada kesan tidak selesa dalam kehidupan seharian. Saban hari kita lihat di mass media kes-kes yang berkaitan penyalahgunaan dadah samada tangkapan atau rampasan oleh pihak berkuasa dan tingkahlaku yang memudaratkan orang lain berpunca dari masalah penagihan. Dikesempatan ini Udin akan memberikan sedikit maklumat apakah yang dimaksudkan dengan dadah terlarang, ciri-ciri dadah disalahguna, punca-punca berlaku penagihan dadah dan akibat dari penagihan. Maklumat yang Udin berikan agak ringkas dan rasanya mudah untuk difahami. Maklumat ini hanyalah sebahagian daripada maklumat awal ataupun asas. Dilain kesempatan nanti Udin akan berikan maklumat secara lebih terperinci perkara-perkara yang berkaitan penagihan dadah.

Dadah merupakan bahan psikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf yang boleh menyebabkan mabuk, khayal, ketagih dan gangguan tingkahlaku. Penggunaan yang berterusan akan mendatangkan bahaya dan kerosakan pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.


Ciri-Ciri Dadah Disalahguna

ü  Kesan ke atas sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang)
ü  Pergantungan fizikal dan psikologikal
ü  Kesan-kesan buruk ke atas kesihatan dan fungsi sosial

Punca-Punca Penagihan Dadah

  •        Perasaan ingin mencuba perkara yang baharu;
  •        Pengaruh rakan sebaya;
  •        Kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibubapa;
  •        Kurang perisian rohani;
  •        Kurang pengetahuan tentang dadah dan tahap bahaya kesan dadah.

Akibat Penagihan Dadah 


  • Suka menjauhkan diri dari khalayak ramai dan suka ke tempat-tempat sunyi atau gelap;
  • Tidak dapat mengawal pertuturan dan suara kerana kemerosotan gangguan mental sehingga percakapan susah difahami;
  • Selalu menguap, mengantuk, hilang kosentrasi, hilang pertimbangan akal dan hilang kawalan diri;
  • Mata selalu merah dan berair kerana fungsi mata tidak dapat dikawal;
  • Terdapat kesan luka calar terutama di lengan kesan dari penggunaan jarum suntikan.


Tentang  Dadah

              Sebagai individu yang mempunyai tanggungjawab keatas  keluarga, adik beradik, saudara mara, tempat kerja dan masyarakat, berikan perhatian kepada  tingkahlaku mereka yang ada dipersekitaran kita. Sekiranya terdapat tanda-tanda penagihan (akibat penagihan dadah) sila dapatkan bantuan dan rujuk kepada pihak berkuasa yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan awal. Ingatlah, pencegahan dan rawatan diperingkat awal adalah perlu sebelum ianya berlarutan dan sukar untuk diubati, bak kata pepatah melayu Mencegah lebih baik dari mengubat.


Wassalam

   *AADK

Udin sedunia (Udin world)...

Memang aku ini, anak orang miskin, tiada apa-apa yang dapat ku berikan....... Aku anak kampung, tiada pelajaran, kuli-kuli sahaja......

       Antara bait-bait lagu kegemaran Udin nyanyian Jimmy Palikat yang berjudul "Aku Anak Kampung". Kalau dikampung nama Udin memang sinonim disebut. Sekiranya ada yang mencari menggunakan nama sebenar, tak akan jumpa punya. Di kampung Udin, kebanyakan orang menggunakan nama panggilan yang sudah menjadi kebiasaan. Biasanya, nama panggilan timbul mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku pada seseorang sehinggalah gelaran nama tersebut kekal selamanya. Bagaimana pula Udin mendapat nama, ha ha ha... biarlah orang kampung Udin yang akan memberikan jawapan kat sini nanti. Pada kesempatan ini, Udin cuma nak berkongsi sedikit maklumat berkaitan nama-nama yang ada kaitan dengan "Udin". Sama-sama kita tonton video berikut...

 
Udin World

Kepada rakan-rakan  yang ada persamaan dengan Udin, harapnya akan tahu bagaimana nama tersebut diperolehi supaya kita boleh berkongsi cerita bersama anak-anak dan cucu-cicit kita nanti. Walaubagaimanapun, apa yang penting marilah kita sama-sama memberikan sedikit sumbangan dalam apa jua bentuk yang kita mampu untuk kebaikan bersama. Tidak kira apa pun nama kita dan bagaimana ianya disebut kerana ada orang yang berkata "Apalah  ada pada nama"....

Wassalam.

Sunday, May 11, 2014

Kasihnya Ibu...

Siapa pun kita hari ini, apa pun pekerjaan kita hari ini dan sebesar mana pun kejayaan kita hari ini, satu hakikat yang tidak boleh kita lupa adalah semua itu bermula dari ibu.

Selamat Menyambut Hari Ibu buat semua ibu-ibu yang kita sayangi. 

" Ya Allah, ampunilah segala dosaku dan dosa-dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihku sejak aku kecil "  Amin....

11 May 2014

Kasihnya Ibu

Saturday, May 10, 2014

Salam dari jemari Udin di pemuka keyboard...

            Salam perkenalan dari Udin buat pembaca yang sedang menatap skrin blog ini. Doa Udin semoga kalian semua berada dalam perlindungan dan rahmat dari yang maha esa. Dikesempatan yang terluang, Udin akan berkongsi membincangkan isu-isu berkaitan Penyalahgunaan Dadah, Perundangan, Motivasi dan isu-isu semasa yang sering berlaku dipersekitaran kita setiap hari. Diharapkan, sedikit perkongsian melalui pengalaman yang Udin ada akan dapat memberi sedikit pengetahuan dan manafaat kepada semua.

Wassalam.