Wednesday, February 15, 2017

Institusi keluarga berperanan menangani gejala dadah


Kajian oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendapati penagihan dan penyalahgunaan dadah merupakan punca utama berlakunya kejadian ragut, pecah rumah dan jenayah jalanan. Pada kebiasaannya penagih yang tidak mempunyai pekerjaan tetap akan melakukan jenayah jenis ini bagi membeli dadah yang telah menjadi keperluan seharian mereka.


Kejadian jenayah melibatkan penagih dadah ini dijangka akan berterusan andai tiada usaha dijalankan untuk membendung dan membentras dengan pelbagai usaha. Salah satu usaha yang boleh dilaksanakan ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan.


Terdapat keperluan untuk membina sebuah keluarga yang kukuh dan menjadi teras kepada masyarakat yang sihat dan stabil serta mampu menangani  ancaman dadah dan gejala sosial yang lain. Ibubapa harus sedar bahawa ketagihan dadah menjadi ruang kepada gejala yang kurang sihat seterusnya membawa kearah melakukan aktiviti jenayah.


Adalah menjadi suatu yang amat wajar bahawa institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memerangi penyalahgunaan dadah dan masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini.


Kita seharusnya sedar  dan mengambil peranan untuk mewujudkan masyarakat  penyayang dan mempunyai rasa tanggungjawab dalam memerangi penyalahgunaan dadah sebagai mekanisma pertahanan utama. Kita perlu mendidik anak-anak kita dan memastikan mereka menghargai nilai-nilai murni seperti sifat persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, patuh pada undang-undang, mempunyai keyakinan diri dan sifat keterbukaan dalam menerima saranan dan pandangan. Sebagai ahli dalam masyarakat, kita juga sewajarnya berani menegur perlakuan anak-anak jiran tetangga kita apabila dilihat ada sesuatu yang tidak kena pada mereka. Anggaplah anak mereka juga seperti anak kita demi kehidupan yang sempurna dan lebih baik kerana nasihat menasihati adalah amalan mulia.

BEBASKAN DIRI ANDA DARI DADAH……

Tuesday, January 3, 2017

Menjejak Gelandangan…


Suatu waktu dahulu mereka selesa dengan kehidupan yang ada. Tidur di bilik berhawa dingin dengan tilam yang empuk dan berjenama, mempunyai keluarga yang sangat bahagia serta dikelilingi orang-orang tersayang. Namun, segalanya tinggal kenangan. Hakikatnya kini mereka hanya mampu tidur berlantaikan simin dan beralaskan kotak serta beratapkan langit semulajadi nan indah. Sambil ditemani sang nyamuk, lipas dan tikus yang sama-sama menumpang dan menhgabiskan sisa-sisa hidup dimuka bumi Allah ini.


Beginilah situasi gelandangan yang ada dinegara kita terutama di ibukota. Jika ditanya, inikah kehidupan yang mereka mahukan. Sudah pasti jawapannya tidak, namun apakan daya, hanya ini yang termampu untuk dilakukan.


Menyelusuri lorong-lorong kaki lima dihuni gelandangan, kita boleh menyelami kisah kehidupan mereka. Hidup ibarat pepatah “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” bagi meneruskan kesinambungan hidup yang berbaki entah berapa lama lagi. Walaupun begitu mereka masih tetap bersyukur kerana saban waktu akan hadir insan-insan berhati mulia melalui badan-badan NGO yang sudi menghulur tangan memberi bantuan makanan buat mengisi perut bagi meneruskan kehidupan sehingga esok yang belum pasti lagi ketentuannya.


Berkongsi penceritaan bersama gelandangan seharusnya membuatkan kita insaf tentang kehidupan yang memang belum pasti akan penghujungnya. Sedikit kealfaan dan salah langkah menjadikan mereka hidup sebagai gelandangan. Jika dilihat, rata-rata gelandangan adalah mereka yang terlibat dengan gejala penagihan dadah walaupun bukan semunya begitu. Mereka bekerja disiang hari sekadar yang termampu untuk membeli makanan dan selebihnya membeli bahan terlarang, manakala keperluan tempat tinggal dan yang lain tidak dapat ditampung dengan pendapatan yang ada. Mereka lebih selesa tidur di kaki lima atau bawah jejantas serta pergi ke tandas awam atau masjid untuk membersihkan diri. Begitulah kehidupan harian mereka yang tidak pasti akan penghujung atau pengakhirannya.


Sebagai seorang yang tidak ingin menjadi penyumbang kepada statistik gelandangan ini, marilah kita sama-sama memperkasakan diri dengan ilmu dan amal yang sewajarnya supaya kita tidak menjadi sebahagian daripada mereka. Hindarkan diri dari terjebak dalam kancah penagihan yang boleh membawa kita menjadi gelandangan. Andai ada ruang masa, bantulah mereka sedaya yang mampu dan dengarkan rintihan hati kumpulan ini untuk dijadikan tauladan dan  sempadan kepada kita dan orang yang kita sayangi.


HINDARKAN DIRI ANDA DARI DADAH….