Saturday, January 24, 2015

Artis dan Dadah

Artis dan dadah kelihatannya agak sinonim walaupun ianya tidak melibatkan semua. Di Malaysia terdapat  ramai artis, tetapi bilangan yang terlibat dengan dadah boleh dikira dengan jari. Ini bermakna stigma artis dan dadah hanyalah kes yang terpencil. Berbanding dengan artis barat, bezanya adalah belum ada artis di negara kita yang meninggal dunia disebabkan pengambilan dadah secara berlebihan dan kita berdoa ianya tidak berlaku. Sebagaimana kita sedia maklum terdapat ramai artis terkenal barat yang meninggal dunia disebabkan overdose.



                        
Minggu ini seorang lagi artis  popular negara kita ditangkap kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Walaupun mahkamah masih belum memutuskan kesnya, namun apa yang menyedihkan adalah kerana bertambah lagi bilangan artis Malaysia yang ditangkap terlibat dengan najis  dadah. Artis merupakan ikon kepada golongan muda mudi di negara kita. Sekiranya perlakuan artis ini diikuti oleh golongan muda yang suka untuk mencuba sesuatu yang baharu, nescaya ianya akan merosakkan anak muda itu sendiri.

Bila berbicara tentang artis dan dadah, ada satu mitos yang sememangnya selalu disebut iaitu kalau tidak mengambil dadah, sukar untuk berhadapan dengan penonton, sukar untuk berkarya dan tidak ada keyakinan diri untuk membuat pertunjukan atau persembahan dan perkara sebegini pernah disebut oleh seorang wartawan tabloid yang dapat menghidu perlakuan segelintir artis ini.
                                    



Mitos sebegini perlu dibuang dan dielakkan. Di Malaysia, kita lihat ramai artis terutamanya wanita yang telah berjaya mencipta nama dipersada seni tanahair tetapi mereka ini bersih dari penyalahgunaan dadah kerana setakat hari ini masih belum ada artis wanita kita yang ditangkap terlibat dengan dadah.


Dalam entri terdahulu, pernah Udin sebutkan bahawa apabila seseorang mula mengambil dadah, mereka telah meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada dadah kerana mind set atau psikologi mereka telah terikat kepada keseronokan dan kebergantungan. Sebab itulah artis yang telah mula terlibat dengan dadah, mereka merasakan ada kekurangan jika tidak mengambil dadah dan kita juga lihat sejarah pengambilan oleh artis ini dimana mereka telah mengambil dadah sejak bertahun lamanya malah ada diantaranya  yang masih mengulang atau relapse walaupun telah ditangkap beberapa kali. Sebenarnya inilah perkara yang berlaku kepada setiap pengguna dadah, kesan psikologi  inilah yang menyebabkan seseorang penagih itu sukar untuk kembali ke pangkal jalan.



Tidak ada jalan mudah untuk merawat penagih kerana mereka adalah pesakit yang perlu dirawat menggunakan kaedah yang betul dan perlu mengikuti disiplin yang telah ditetapkan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada mengubat kerana sekali terlibat dengan dadah, ianya akan menghadirkan  kesengsaraan  selamanya.


Hidup Tanpa Dadah…..

Tuesday, January 6, 2015

Tanda-Tanda Awal Pengambilan Dadah

Apabila ada diantara orang yang paling hampir atau rapat dengan kita tiba-tiba berubah tingkahlaku, maka kita perlu mendapatkan penjelasan ataupun membuat pemerhatian keatas individu tersebut kerana berkemungkinan ia terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Bagaimana pula untuk mengetahui individu tersebut terlibat dengan penyalahgunaan dadah?. Entri kali ini Udin akan memberikan sedikit panduan bagi mengenalpasti berlakunya tanda-tanda penagihan. Pada umumnya, terdapat tanda-tanda yang boleh dilihat melalui beberapa perubahan tertentu seperti paras rupa, sikap, tabiat dan tingkah laku. Beberapa tanda umum boleh dilihat berkaitan dengan kegiatan penagihan   :-

  • Kemerosotan kehadiran di sekolah atau tempat kerja,               mutu kerja, disiplin dan hasil kerja;
  • Mudah marah, selalu menguap dan tidak bermaya;
  • Mengelakkan diri daripada tanggungjawab;
  • Kemerosotan paras rupa dan kebersihan diri;
  • Tabiat suka menyembunyikan apa-apa yang dilakukan             atau dimiliki;
  • Hilang selera makan, kurang berat badan, mata                         berkaca- kaca dan berair atau mata yang redup, kuyu dan hidung berair;
  • Bekas parut dan bekas suntikan di lengan dan di hujung jari  bertukar warna akibat menghisap ganja;
  • Kerap berdampingan dengan mereka yang diketahui menagih dadah;
  • Meminta wang secara berlebihan daripada keluarga                 bertujuan membeli dadah;
  • Suka meminjam daripada kawan-kawan atau mencuri             barang- barang yang mudah dijual dari rumah,                           sekolah, tempat kerja, saudara mara atau ahli                         keluarga;
  • Selalu mengunjungi tempat-tempat terpencil tanpa                   sebab seperti stor, bilik kecil, tingkat bawah                               bangunan dengan tujuan untuk mengambil dadah.

Tanda-tanda di atas merupakan sebahagian daripada tanda umum dan terdapat tanda-tanda lain  yang sering berlaku. Apabila terdapat satu atau sebahagian daripada tanda-tanda ini, dapatkanlah nasihat daripada orang yang mahir dan cubalah bantu individu yang terlibat supaya gejala penagihan ini tidak menjadi bertambah parah. Kenalilah anak kita dan orang yang berada disekeliling serta lihatlah sekiranya ada perubahan yang berlaku. Udin juga ingin kongsikan video pendek yang bertajuk Kenali Anak Kita yang  diterbitkan oleh Petronas mengandungi maklumat berkaitan penagihan dadah.


Jangan Ambil Dadah......

Saturday, January 3, 2015

Salam Maulidur Rasul 2015 / 1436 Hijrah

Salawat Nabi

Tanggal  12  Rabiulawal setiap tahun merupakan satu tarikh penting bagi umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini merupakan tarikh keramat bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad  S.A.W. Tarikh kelahiran baginda pada tahun ini adalah bersamaan dengan 3 hb Jan 2015 / 1436 Hijrah.  Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Udin ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan baginda yang Udin perolehi melalui bacaan dan rujukan yang dibuat.

Biodata Rasulullah S.A.W adalah sebagaimana berikut :

  • Nama             : Muhammad bin Abdullah bin Abdul                                                          Muttalib bin hashim.
  • Tarikh lahir   : Subuh Isnin 12 rabiulawal/20 april 571M (dikenali sebagai tahun gajah,  sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Mekah).
  • Tempat lahir  : Di rumah Abu Talib,Mekah Al-Mukarramah.
  • Nama bapa     : Abdullah bin Abu Muttalib bin Hashim.
  • Nama ibu        : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
  • Kewafatan Rasullullah SAW di Madinah Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal 11 Hijrah/08 Jun 632 Masihi. Ketika berusia 63 tahun.
Isteri-isteri Rasullullah SAW

  1. Khadijah binti Khuwailid
  2. Saudah binti Zam’ah
  3. Aisyah binti Abu bakar
  4. Hafsah binti Umar
  5. Ummu Habibah binti Abu Sufyan
  6. Ummu salamah (Hindun binti Umayyah )
  7. Zainab binti Jahsy
  8. Maimunah binti Haris
  9. Safiyyah binti Huyai
  10. Zainab binti Khuzaimah
Anak-anak Rasullullah SAW

  1. Qassim
  2. Abdullah
  3. Ibrahim
  4. Zainab
  5. Ruqayyah
  6. Ummu Kalsum
  7. Fatimah
Bersesuaian dengan kedatangan Maulidur rasul kali ini, marilah kita memperuntukkan sedikit masa yang ada bagi menghayati ceramah agama oleh KH Zainuddin Mz yang bertajuk Perbaiki Akhlak.... Semoga kita sama-sama mendapat manafaat daripada tontonan ini.

Wassalam.....

Thursday, January 1, 2015

Salam Tahun Baru 2015


Selamat tinggal 2014 dan selamat datang 2015. Sebagaimana kita sedia maklum, tahun 2014 merupakan tahun yang amat mencabar bagi negara yang kita cintai. Berbagai peristiwa suka dan duka telah kita sama-sama lalui dan kita diuji dengan peristiwa sukar sepanjang tahun.  Tragedi  MH370, MH17 dan yang terakhir  banjir besar melanda pada penghujung tahun membuatkan kita semua sama-sama menangis dan berdoa bagi kesejahteraan  mangsa-mangsa yang terlibat.

Sebagaimana lazim, apabila muncul hari pertama tahun baru, kita akan menetapkan azam dan merencanakan wawasan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun. Jika menurut kehendak hati, berbagai perkara hendak dilakukan dan dicapai, namun adakah ianya relevan dan kita berkemampuan melaksanakannya, tepuk dada dan  tanya hati masing-masing. Bagi Udin, apa yang penting adalah pencapaian tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun terdahulu dan sentiasa istiqamah ataupun konsistant dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Bagi memastikan keamanan dan kedamaian persekitaran kita sentiasa terpelihara, marilah kita sama-sama berganding bahu melakukan sedikit pengorbanan membuat aktiviti pencegahan sedaya mampu. Ianya bersesuaian dengan sabda junjungan besar nabi kita sebagaimana diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: 

من رأى منكرًا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف 
الإيمان

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya dari hadis Abu Said r.a). 

Hadis ini menunjukkan perintah untuk beramal makruf dan nahi mungkar bergantung kepada kemampuan kita sebagai manusia. Ada diantara kita yang boleh mengubah kemungkaran dengan menggunakan kuasa yang ada dalam bidang masing-masing. Sekiranya tidak mampu, cegahlah  dengan lisannya iaitu secara amaran atau memberikan nasihat dan sekiranya tidak mampu cegahlah dengan hatinya iaitu membenci segala kemungkaran yang wujud.

Dalam konteks penyalahgunaan dadah, marilah kita bersama-sama berganding bahu memastikan gejala ini tidak akan singgah langsung dalam persekitaran rumahtangga, kediaman dan seterusnya negara yang kita sayangi ini kerana kita sedia maklum gejala ini mendatangkan kemudaratan kepada semua pihak. Sayangilah diri kita, keluarga dan masyarakat serta elakkan dari terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama menghayati bait-bait indah dan audit diri melalui  sajak nukilan : 
KH Mustofa Bisri yang bertajuk Selamat Tahun Baru Kawan 


Wassalam dan Selamat Tahun Baru 2015……