Wednesday, February 15, 2017

Institusi keluarga berperanan menangani gejala dadah


Kajian oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendapati penagihan dan penyalahgunaan dadah merupakan punca utama berlakunya kejadian ragut, pecah rumah dan jenayah jalanan. Pada kebiasaannya penagih yang tidak mempunyai pekerjaan tetap akan melakukan jenayah jenis ini bagi membeli dadah yang telah menjadi keperluan seharian mereka.


Kejadian jenayah melibatkan penagih dadah ini dijangka akan berterusan andai tiada usaha dijalankan untuk membendung dan membentras dengan pelbagai usaha. Salah satu usaha yang boleh dilaksanakan ialah dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan.


Terdapat keperluan untuk membina sebuah keluarga yang kukuh dan menjadi teras kepada masyarakat yang sihat dan stabil serta mampu menangani  ancaman dadah dan gejala sosial yang lain. Ibubapa harus sedar bahawa ketagihan dadah menjadi ruang kepada gejala yang kurang sihat seterusnya membawa kearah melakukan aktiviti jenayah.


Adalah menjadi suatu yang amat wajar bahawa institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memerangi penyalahgunaan dadah dan masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini.


Kita seharusnya sedar  dan mengambil peranan untuk mewujudkan masyarakat  penyayang dan mempunyai rasa tanggungjawab dalam memerangi penyalahgunaan dadah sebagai mekanisma pertahanan utama. Kita perlu mendidik anak-anak kita dan memastikan mereka menghargai nilai-nilai murni seperti sifat persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, patuh pada undang-undang, mempunyai keyakinan diri dan sifat keterbukaan dalam menerima saranan dan pandangan. Sebagai ahli dalam masyarakat, kita juga sewajarnya berani menegur perlakuan anak-anak jiran tetangga kita apabila dilihat ada sesuatu yang tidak kena pada mereka. Anggaplah anak mereka juga seperti anak kita demi kehidupan yang sempurna dan lebih baik kerana nasihat menasihati adalah amalan mulia.

BEBASKAN DIRI ANDA DARI DADAH……

No comments:

Post a Comment