Thursday, June 16, 2016

Faktor Risiko dan Faktor Perlindungan

Secara amnya terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang terlibat dalam penagihan dadah. Diantaranya adalah ingin mencuba sesuatu yang baru, dipengaruhi oleh rakan, keperluan emosi dan psikologi yang tidak dipenuhi, keluarga yang bermasalah, persekitaran yang terdapat ramai penagih dadah dan berbagai lagi. Kegagalan seseorang individu mengawal diri akan menyebabkan ianya mudah terpengaruh seterusnya mencuba untuk mengambil bahan terlarang dan terjerumus kedalam dunia penagihan.


Bagi melihat dengan lebih jelas  tentang permasalahan ini, terdapat perkaitan yang sangat sinonim bagi menentukan penglibatan seseorang dalam gejala penagihan dadah ini iaitu faktor risiko dan faktor perlindungan. Menurut Kamus Dewan edisi ke 3, Risiko  didefinisikan sebagai kemungkinan mendapat bahaya atau kerugian manakala Perlindungan pula adalah memberi bantuan atau pertolongan atau memelihara. Sebagai contoh, ibubapa yang sentiasa mengawal tingkahlaku anak-anak dari segi pergaulan dengan rakan-rakan dan menetapkan masa untuk berjumpa dengan rakan-rakan serta mengenali rakan-rakan anaknya secara tidak langsung telah mewujudkan faktor perlindungan. Jika ini berlaku,  risiko anak-anak untuk berkawan dengan rakan-rakan yang telah mengambil dadah adalah dan terlibat dengan penagihan adalah terkawal. Secara umumnya, semakin banyak faktor pelindungan yang didedahkan kepada ahli masyarakat maka semakin berkurang faktor risiko penyalahgunaan dadah. Diantara pendekatan yang boleh dibuat oleh masyarakat dalam menangani masalah penagihan dadah  adalah sebagaimana berikut :-


i.               Memusnahkan kawasan penagihan (port penagih)

ii.            Membuat rondaan di kawasan perumahan bersama komuniti

iii.        Aktiviti pencegahan dan kempen kesedaran dengan kerjasama pihak AADK, Polis dan PBT


Dengan adanya aktiviti yang dirancang, masyarakat sebenarnya telah mencipta faktor perlindungan kepada ahli-ahlinya dan secara tidak langsung risiko pengambilan bahan terlarang tertamanya dadah adalah terkawal.


DADAH, CEGAH SEBELUM TERLIBAT…

Wednesday, June 15, 2016

Pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat

Nikmat Ramadan 2016 disambut dengan penuh kegembiraan buat saudara Ameng yang dibebaskan dari penjara Kluang. Membawa bersama seribu satu kenangan dan ilmu yang diperolehi di dalam tembok besi pastinya memberikan kekuatan dalam meneruskan kehidupan yang perlu dilalui. 


Sebagaimana post awal Udin pada 27 Nov 2014 bertajuk Hikmah Dari Penjara, sebenarnya banyak yang telah dipelajari oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam mana-mana tembok besi dan tidak terkecuali juga saudara Ameng. Pihak penjara sememangnya telah melakukan yang terbaik kepada setiap penghuni yang menumpang kasih didalamnya samada buat sementara, seumur hidup ataupun yang terpaksa menyerahkan nyawa didalamnya. Melalui ilmu dan pengalaman ini diharapkan saudara Ameng  akan dapat berkongsi segala pengalaman yang diperolehi sepanjang menjalani hukuman sebagaimana janjinya dahulu iaitu :-


“Insya-Allah apabila keluar dari penjara nanti saya berhasrat nak beralih ke bidang motivasi selain menyanyi. Saya akan ceritakan semua pengalaman awal saya bagaimana boleh terjebak dengan dadah” – Ameng


Sesungguhnya ketentuan Allah itu pasti. Biar apa pun yang berlaku, redha itu sangat penting buat kita semua. Marikah kita berdoa dan memberikan sepenuh sokongan kepada saudara Ameng agar beliau dapat meneruskan kehidupannya dengan baik dan jadikanlah pengalaman yang dilaluinya sebagai gurunya yang sejati.

Pengalaman telah mendewasakan,
mematangkan fikiran,
pahit getir yang pernah kulalui,
guruku sejati,


Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat untuk sama-sama menerima golongan yang keluar dari penjara atau pusat pemulihan kerana mereka ini benar-benar perlukan perhatian untuk meneruskan kehidupan. Bantu dan sokonglah mereka.

Salam Ramadhan 2016

Saturday, January 24, 2015

Artis dan Dadah

Artis dan dadah kelihatannya agak sinonim walaupun ianya tidak melibatkan semua. Di Malaysia terdapat  ramai artis, tetapi bilangan yang terlibat dengan dadah boleh dikira dengan jari. Ini bermakna stigma artis dan dadah hanyalah kes yang terpencil. Berbanding dengan artis barat, bezanya adalah belum ada artis di negara kita yang meninggal dunia disebabkan pengambilan dadah secara berlebihan dan kita berdoa ianya tidak berlaku. Sebagaimana kita sedia maklum terdapat ramai artis terkenal barat yang meninggal dunia disebabkan overdose.



                        
Minggu ini seorang lagi artis  popular negara kita ditangkap kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Walaupun mahkamah masih belum memutuskan kesnya, namun apa yang menyedihkan adalah kerana bertambah lagi bilangan artis Malaysia yang ditangkap terlibat dengan najis  dadah. Artis merupakan ikon kepada golongan muda mudi di negara kita. Sekiranya perlakuan artis ini diikuti oleh golongan muda yang suka untuk mencuba sesuatu yang baharu, nescaya ianya akan merosakkan anak muda itu sendiri.

Bila berbicara tentang artis dan dadah, ada satu mitos yang sememangnya selalu disebut iaitu kalau tidak mengambil dadah, sukar untuk berhadapan dengan penonton, sukar untuk berkarya dan tidak ada keyakinan diri untuk membuat pertunjukan atau persembahan dan perkara sebegini pernah disebut oleh seorang wartawan tabloid yang dapat menghidu perlakuan segelintir artis ini.
                                    



Mitos sebegini perlu dibuang dan dielakkan. Di Malaysia, kita lihat ramai artis terutamanya wanita yang telah berjaya mencipta nama dipersada seni tanahair tetapi mereka ini bersih dari penyalahgunaan dadah kerana setakat hari ini masih belum ada artis wanita kita yang ditangkap terlibat dengan dadah.


Dalam entri terdahulu, pernah Udin sebutkan bahawa apabila seseorang mula mengambil dadah, mereka telah meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada dadah kerana mind set atau psikologi mereka telah terikat kepada keseronokan dan kebergantungan. Sebab itulah artis yang telah mula terlibat dengan dadah, mereka merasakan ada kekurangan jika tidak mengambil dadah dan kita juga lihat sejarah pengambilan oleh artis ini dimana mereka telah mengambil dadah sejak bertahun lamanya malah ada diantaranya  yang masih mengulang atau relapse walaupun telah ditangkap beberapa kali. Sebenarnya inilah perkara yang berlaku kepada setiap pengguna dadah, kesan psikologi  inilah yang menyebabkan seseorang penagih itu sukar untuk kembali ke pangkal jalan.



Tidak ada jalan mudah untuk merawat penagih kerana mereka adalah pesakit yang perlu dirawat menggunakan kaedah yang betul dan perlu mengikuti disiplin yang telah ditetapkan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada mengubat kerana sekali terlibat dengan dadah, ianya akan menghadirkan  kesengsaraan  selamanya.


Hidup Tanpa Dadah…..

Tuesday, January 6, 2015

Tanda-Tanda Awal Pengambilan Dadah

Apabila ada diantara orang yang paling hampir atau rapat dengan kita tiba-tiba berubah tingkahlaku, maka kita perlu mendapatkan penjelasan ataupun membuat pemerhatian keatas individu tersebut kerana berkemungkinan ia terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Bagaimana pula untuk mengetahui individu tersebut terlibat dengan penyalahgunaan dadah?. Entri kali ini Udin akan memberikan sedikit panduan bagi mengenalpasti berlakunya tanda-tanda penagihan. Pada umumnya, terdapat tanda-tanda yang boleh dilihat melalui beberapa perubahan tertentu seperti paras rupa, sikap, tabiat dan tingkah laku. Beberapa tanda umum boleh dilihat berkaitan dengan kegiatan penagihan   :-

  • Kemerosotan kehadiran di sekolah atau tempat kerja,               mutu kerja, disiplin dan hasil kerja;
  • Mudah marah, selalu menguap dan tidak bermaya;
  • Mengelakkan diri daripada tanggungjawab;
  • Kemerosotan paras rupa dan kebersihan diri;
  • Tabiat suka menyembunyikan apa-apa yang dilakukan             atau dimiliki;
  • Hilang selera makan, kurang berat badan, mata                         berkaca- kaca dan berair atau mata yang redup, kuyu dan hidung berair;
  • Bekas parut dan bekas suntikan di lengan dan di hujung jari  bertukar warna akibat menghisap ganja;
  • Kerap berdampingan dengan mereka yang diketahui menagih dadah;
  • Meminta wang secara berlebihan daripada keluarga                 bertujuan membeli dadah;
  • Suka meminjam daripada kawan-kawan atau mencuri             barang- barang yang mudah dijual dari rumah,                           sekolah, tempat kerja, saudara mara atau ahli                         keluarga;
  • Selalu mengunjungi tempat-tempat terpencil tanpa                   sebab seperti stor, bilik kecil, tingkat bawah                               bangunan dengan tujuan untuk mengambil dadah.

Tanda-tanda di atas merupakan sebahagian daripada tanda umum dan terdapat tanda-tanda lain  yang sering berlaku. Apabila terdapat satu atau sebahagian daripada tanda-tanda ini, dapatkanlah nasihat daripada orang yang mahir dan cubalah bantu individu yang terlibat supaya gejala penagihan ini tidak menjadi bertambah parah. Kenalilah anak kita dan orang yang berada disekeliling serta lihatlah sekiranya ada perubahan yang berlaku. Udin juga ingin kongsikan video pendek yang bertajuk Kenali Anak Kita yang  diterbitkan oleh Petronas mengandungi maklumat berkaitan penagihan dadah.


Jangan Ambil Dadah......