Tuesday, May 20, 2014

Jom Lawak - Pak Pandir dan Motosikal Baru

Pak Pandir baru sahaja membeli motosikal baru. Dengan rasa bangga Pak Pandir pun bersiar-siar di pekan. Sampai di depan lampu isyarat, Pak Pandir berhenti kerana lampu merah. Apabila lampu hijau, semua kenderaan mula bergerak tetapi Pak Pandir masih tetap tidak berganjak dari tempatnya. Lalu datang seorang polis dan bertanya pada Pak Pandir.


Polis: "Kenapa tak jalan lagi? Kan lampu hijau tu?"


Pak Pandir: "Maaf encik, belum ada warna lampu yang saya suka lagi. Bila sudah keluar warna yang saya suka, saya jalan." (tersenyum)


Polis: "Mampus kalau macam ni!" (mengetuk dahi)

Sunday, May 18, 2014

Sinar Di Hujung Kelam

                 Sinar Di Hujung Kelam merupakan sebuah filem pendek yang menjadi kebangaan Udin serta rakan-rakan seperjuangan di alam pengajian yang mana Udin terlibat dalam produksi dan berpeluang membintangi filem ini.  Filem ini mengisahkan keazaman seorang bekas banduan penagih dadah untuk kembali ke pangkal jalan menghadapi cabaran yang amat besar apabila terpaksa berhadapan dengan presepsi buruk masyarakat, dibuang oleh keluarga dan ditinggalkan oleh isteri. Hanya rakan yang pernah menagih bersamanya yang sudi menerima untuk kembali dan melakukan aktiviti lampau. Berbekalkan kekuatan diri, penghayatan agama serta bimbingan dan kaunseling berjaya merealisasikan matalamat diri untuk kembali kepangkal jalan dan pulih dari penagihan.

Apa yang ingin Udin kongsikan bersama pada entry kali ini adalah realiti sebenar seorang penagih. Mereka ingin kembali kepangkal jalan, tetapi tidak mendapat sokongan dari mereka-mereka yang terdekat yang memungkinkan golongan ini kembali kepada tabiat asal mereka. Selain sokongan dan penerimaan masyarakat serta keluarga, keperluan kaunseling amatlah perlu bagi membimbing mereka membina kekuatan diri menghadapi cabaran yang amat besar untuk dilalui.

Kepada pembaca sekalian, terima dan berikanlah sokongan yang tidak berbelah bagi kepada golongan ini kerana mereka amat-amat memerlukan sokongan demi mengekalkan kepulihan. Kepada keluarga yang menghadapi masalah dengan penagihan, sila rujuk dan berjumpa kaunselor berdekatan bagi mendapatkan nasihat dan maklumat bagi membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Kepada rakan-rakan kaunselor Udin, filem ini amat sesuai untuk dijadikan bahan pelajaran kerana ianya penuh dengan maklumat dan realiti kehidupan seorang bekas penagih. Udin tidak dapat memuat turun filem ini di laman blog kerana ianya menjadi hakmilik penuh penerbit. Jika diizinkan, mungkin satu hari nanti kita akan sama-sama dapat menontonnya. Buat rakan-rakan yang sama-sama berusaha merealisasikan filem pendek ini, Udin kongsikan beberapa foto dan lagu tema filem ini buat penghilang rindu diantara kita semua. Lagu ini dinyanyikan oleh adik Wani yang sedang menempa nama dalam bidang nyanyian, merupakan anak jati kampung Udin...



 

  
Rapuh - Adik Wani
Wassalam.

Friday, May 16, 2014

Salam Hari Guru 2014

               Guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain.  Inilah ungkapan yang biasa Udin dengar  masa kecil-kecik dahulu. Seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang pelajaran dan pengunaan bahasa-bahasa indah, ungkapan sebegini jarang didengar. Hari ini ungkapan Guru, pencetus kreativiti, penjana inovasi disebut dimana-mana sahaja. Walaupun agak sukar untuk difahami oleh sesetengah pelajar, namun ianya merupakan suatu ungkapan yang menggambarkan betapa pengorbanan, rasa terima kasih dan harapan  pelajar  terhadap guru yang telah berjasa membentuk dan mendidik mereka.

Sejarah Perayaan Hari Guru sebenarnya telah bermula sejak tahun 1972 dan sehingga tahun ini ianya telah disambut sebanyak 42 kali. Kejayaan yang kita kecapi selama ini adalah berkat usaha guru yang mengajar dan mendidik kita. Sungguh mulia kerja guru sehinggalah sekiranya tiada mereka siapalah kita. Tugas guru bukanlah semudah yang disangka. Banyak persiapan dan cabaran yang perlu dihadapi bagi merealisasikan kejayaan yang ingin dicapai. Pengalaman Udin menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana, Puchong pada awal tahun 2014 membuatkan Udin sedar betapa besarnya cabaran yang dihadapi oleh guru-guru sekarang. Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada pelajar, kerjasama dan peranan setiap orang adalah perlu bagi menjamin kejayaan anak-anak. Janganlah hendaknya melepaskan tanggungjawab  hanya kepada pihak sekolah serta guru-guru sahaja serta meletakkan kegagalan kepada mereka. Bekerjasamalah demi menjamin kejayaan anak-anak kita semua.

Sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik dan mengajar Udin sejak di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti sehinggalah Udin berada dalam situasi hari ini, dengan besar hati Udin titipkan  ole-ole ikhlas  ini...

Puisi Buat Guru...

Tak lupa juga Salam Hari Guru buat rakan-rakan guru Udin yang telah banyak memberi kerjasama dan membantu Udin semasa kita berada di alam pengajian.  Jutaan terima kasih buat cikgu Aini dan semua guru Kaunseling Sek. Men. Kebangsaan Putra Perdana, Puchong  yang banyak membantu Udin semasa menjalani latihan amali. Cikgu Aishah yang memberi peluang mengadakan program di Sek. Men. Seri Pagi dan cikgu Mai yang sudi membawa Udin sampai ke Sek. Men. Binjai, Trengganu. Tak lupa juga buat rakan-rakan cikgu yang lain iaitu cikgu Norita, Cikgu Husna, Cikgu Zie, Cikgu Hjh Norliza, Cikgu Apis Nani, Cikgu Zek (Ostat), Cikgu Kimi, Cikgu Kak Moon dan cikgu Zama yang sangat tabah menghabiskan sebahagian masa kuliah di katil hospital serta semua guru-guru yang menatap skrin blog Udin ini. Sesungguhnya jasa kalian amat besar dalam mencorak minda dan masa depan seseorang individu.

Wassalam. 

16 Mei 2014

Thursday, May 15, 2014

Kesan Pergantungan Psikologi dan Fizikal Dadah

            Kali ini Udin akan menerangkan sebahagian daripada kesan yang akan dialami oleh individu yang mengambil dadah. Pada entry terdahulu Udin telah jelaskan ciri-ciri dadah yang disalahguna. Diantaranya adalah pergantungan psikologi dan fizikal. Apabila seseorang itu mengambil dadah, samada suka atau tidak individu tersebut akan mengalami kesan pergantungan kepada dadah. Terdapat dua kesan pergantungan yan akan dialami iaitu :-

        1. Pergantungan psikologi, dan
        2. Pergantungan fizikal.

Pergantungan Psikologi

            Pergantungan psikologi merujuk kepada perasaan “memerlukan” atau dalam istilah biasa adalah ‘gian’ kepada dadah. Individu yang mengalami pergantungan psikologi terhadap dadah yang tertentu selalunya merasakan dirinya tidak dapat berfungsi secara normal tanpa penggunaan berterusan dadah tersebut.

Bagaimana pula pergantungan ini boleh berlaku ?. Didalam otak manusia terdapat tapak ganjaran yang menyebabkan seseorang rasa seronok. Dopamin merupakan neurotransmiter yang menyebabkan keseronokan. Apabila seseorang berasa seronok untuk melakukan sesuatu, maka ia akan mengulangi semula perbuatan tersebut. Apabila seseorang mengambil dadah, dopamin akan dibebaskan dengan kadar yang banyak dan disebabkan itulah terdapat dorongan untuk mendapatkan kepuasan/keseronokan diri yang disebut sebagai ‘euforia’. Tanpa disedari, keseronokan yang dihasilkan oleh dadah merupakan “keseronokan palsu”. Ada diantara penagih dadah yang telah pulih dari penagihan, tetapi gagal untuk mengawal diri kerana faktor keseronokan yang dirasakan sehingga menyebabkan ia kembali menagih ataupun ‘relaps’. Dalam istilah atau bahasa penagih, mereka menyebutnya sebagai ‘Rindu’ terhadap dadah.

Dalam kehidupan biasa manusia, keseronokan semulajadi  yang  dicapai adalah melalui makanan yang enak dan hubungan sex. Ada pendapat yang mengatakan apabila penagih mengambil dadah, ia dapat mencapai euforia sebanyak tiga kali ganda dari keseronokan semulajadi hubungan sex. Disebabkan faktor ini jugalah penagih meneruskan aktiviti mereka. (kepada pembaca sekalian, jangan lah pula cuba mengambil dadah untuk mendapatkan euforia jenis ini kerana ada cara lain yang boleh dilakukan selain mengambil dadah). Udin percaya pendapat ini mungkin ada kebenarannya kerana kalau kita lihat banyak aktiviti yang berkaitan dadah dan sex berlaku dilapurkan di mass media.


Penghasilan Dopamin


Pergantungan Fizikal

            Pergantungan fizikal merujuk kepada perubahan yang berlaku pada badan selepas penggunaan berterusan dadah. Pergantungan ini merupakan proses fisiologi yang biasa berlaku dimana jika pengambilan dadah ini dihentikan ianya akan  menimbulkan gejala-gejala ‘tarikan’. Sindrom tarikan merupakan tanda-tanda yang dialami oleh individu yang terbentuk  secara tindakbalas semulajadi terhadap sesuatu dadah yang diambil dan ianya berlaku apabila pengambilan dihentikan atau dos yang diambil tidak mencukupi.

Diantara gejala yang biasa berlaku adalah sakit perut, muntah-muntah, menggeletar, berhingus, mata merah dan sebagainya. Gejala ini berbeza mengikut jenis dadah yang diambil. Gejala ini akan berlaku dalam suatu tempoh tertentu setelah pengambilan terakhir dan apabila gejala ini berlaku, penagih akan menyambung pengambilan secara berterusan.

Kesan Pergantungan

           Daripada maklumat pergantungan psikologi dan fizikal, kita dapati pemikiran dan badan penagih telah bergantung sepenuhnya kepada dadah. Sebab itulah seorang penagih sukar untuk meninggalkan tabiat pengambilan dadah dan pulih sepenuhnya. Satu lagi sifat semulajadi dadah adalah keberkesanannya akan berkurangan setelah digunakan secara berterusan. Oleh itu penagih akan mengambil dos yang lebih untuk mendapatkan kesan yang sama. Apabila pengambilan yang berlebihan dibuat, ianya akan menghasilkan tindakbalas depresi pernafasan yang boleh mengakibatkan kematian. Inilah yang disebut ‘overdose’ sepertimana yang selalu kita lihat ada penagih yang mati disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan.


Overdose - Nick Real Story

Wassalam.