Thursday, January 1, 2015

Salam Tahun Baru 2015


Selamat tinggal 2014 dan selamat datang 2015. Sebagaimana kita sedia maklum, tahun 2014 merupakan tahun yang amat mencabar bagi negara yang kita cintai. Berbagai peristiwa suka dan duka telah kita sama-sama lalui dan kita diuji dengan peristiwa sukar sepanjang tahun.  Tragedi  MH370, MH17 dan yang terakhir  banjir besar melanda pada penghujung tahun membuatkan kita semua sama-sama menangis dan berdoa bagi kesejahteraan  mangsa-mangsa yang terlibat.

Sebagaimana lazim, apabila muncul hari pertama tahun baru, kita akan menetapkan azam dan merencanakan wawasan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun. Jika menurut kehendak hati, berbagai perkara hendak dilakukan dan dicapai, namun adakah ianya relevan dan kita berkemampuan melaksanakannya, tepuk dada dan  tanya hati masing-masing. Bagi Udin, apa yang penting adalah pencapaian tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun terdahulu dan sentiasa istiqamah ataupun konsistant dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Bagi memastikan keamanan dan kedamaian persekitaran kita sentiasa terpelihara, marilah kita sama-sama berganding bahu melakukan sedikit pengorbanan membuat aktiviti pencegahan sedaya mampu. Ianya bersesuaian dengan sabda junjungan besar nabi kita sebagaimana diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: 

من رأى منكرًا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف 
الإيمان

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan sekiranya dia tidak mampu (juga), maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah keimanan.” (Riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya dari hadis Abu Said r.a). 

Hadis ini menunjukkan perintah untuk beramal makruf dan nahi mungkar bergantung kepada kemampuan kita sebagai manusia. Ada diantara kita yang boleh mengubah kemungkaran dengan menggunakan kuasa yang ada dalam bidang masing-masing. Sekiranya tidak mampu, cegahlah  dengan lisannya iaitu secara amaran atau memberikan nasihat dan sekiranya tidak mampu cegahlah dengan hatinya iaitu membenci segala kemungkaran yang wujud.

Dalam konteks penyalahgunaan dadah, marilah kita bersama-sama berganding bahu memastikan gejala ini tidak akan singgah langsung dalam persekitaran rumahtangga, kediaman dan seterusnya negara yang kita sayangi ini kerana kita sedia maklum gejala ini mendatangkan kemudaratan kepada semua pihak. Sayangilah diri kita, keluarga dan masyarakat serta elakkan dari terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama menghayati bait-bait indah dan audit diri melalui  sajak nukilan : 
KH Mustofa Bisri yang bertajuk Selamat Tahun Baru Kawan 


Wassalam dan Selamat Tahun Baru 2015……

Tuesday, December 30, 2014

Jenis-Jenis Dadah Disalah Guna


             Pada entri kali ini Udin akan memberikan maklumat berkaitan jenis-jenis dadah yang disalah guna. Penyalahgunaan dadah boleh didefinisikan sebagai pengambilan sendiri dadah psikoaktif untuk kepuasan/keseronokan diri (euforia) dan bukan untuk tujuan rawatan. Diantara faktor yang membawa kepada salahguna dadah termasuklah ianya mudah diperolehi, perasaan ingin tahu, mencari ketenangan, pengaruh rakan dan juga tekanan hidup seseorang. Terdapat enam kelas utama dadah yang disalah guna. Ianya adalah sebagaimana berikut:-

1.       Narkotik / Opioid 
Jenis dadah    : Heroin, Morfin, Candu, Kodien & Methadon.
Asas dadah     : Tanaman – pokok candu / popi.
Kesan pengambilan : Merasa seronok, puas, santai, melegakan kesakitan dan kegelisahan.
Kesan buruk     : Sembelit, menguap, keliru, pertuturan tidak teratur, merah kulit muka, mual dan muntah, pupil mengecil, gatal dan ruam, hidung dan mata berair, sakit otot, rosak gigi & mata.

2.       Perangsang / Stimulan
Jenis dadah : Amfetamin, Methamfetamin, Ecstasy, pil kuda.
Asas dadah : Dihasilkan melalui bahan kimia.
Kesan pengambilan : Keseronokan luarbiasa, terlalu aktif, tiada selera makan.                          
Kesan buruk : Pertuturan cepat dan tidak teratur, resah, keketaran, berpeluh, kering mulut dan bibir, pupil membesar, tidak sedar, koma, halisunasi, pemarah & agresif.

3.       Penekanan / Depresan
Jenis dadah : Barbiturat, Trankuilizer, Alkohol.
Asas dadah : Dihasilkan melalui bahan kimia / penapaian
Kesan pengambilan : Mengurangkan tekanan, mententeramkan fikiran, rasa teruja.
Kesan buruk : Pertuturan tidak teratur, hilang koordinasi, keliru, depresi, keketaran, halisunasi.

 4.       Halusinogen
Jenis dadah : LSD (Lysergic acid diethylamide),
PCP (psilocin,psilocybin) Mescaline, Phencylidine
Asas dadah : Tanaman – Pokok koka / kulat / cendawan
Kesan pengambilan  :   Hayal, euforia.                                      
Kesan buruk : Mengantuk dan pasif, keliru, menyebabkan kegilaan, seperti dipukau.

5.        Kanabis
Jenis dadah : Ganja, Hashish & Marijuana.
Asas dadah : Tanaman – Pokok ganja.
Kesan pengambilan : Hayal, teruja, euforia, meningkatkan selera makan.
Kesan buruk : Kering mulut, nafas berbau, ketawa tak terkawal, peningkatan denyutan jantung, mata merah, hilang ingatan.

6.         Inhalasi  
Jenis : Cecair pencuci, gasolin, gam, pemyembur rambut, pencair cat, petrol
Asas : Bahan kimia.
Kesan pengambilan : Rasa terawang, berada diluar realiti, imijinasi.
Kesan buruk : Bengkak membran mukos di mulut dan hidung, perubahan ritma jantung, koma, mengakibatkan kematian.



Pokok kanabis / ganja


Daun ganja kering


Peralatan menghisap heroin


Pokok popi


Buah popi 


Pil estacy


Syabu


Pil eramin 5


Melalui maklumat yang ada, kita boleh melihat apakah simptom atau tanda-tanda yang dialami oleh seorang penagih dan melaluinya kita boleh mengetahui apakah jenis dadah disalah guna yang diambil. Sekiranya gejala ini terdapat dikalangan orang yang rapat dengan kita, bolehlah terus mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum ianya menjadi lebih parah serta sukar untuk dikawal dan dirawat.

Pembaca boleh melihat kesan yang berbeza bagi setiap pengambilan jenis dadah terlarang ini dengan melayari video yang  telah telah Udin upload bertajuk Kesan Dadah Yang Berbeza. Adalah diingatkan kepada pembaca supaya tidak sekali-kali mencuba sebarang dadah yang disalah guna ini. Walaupun dadah disalah guna mendatangkan keseronokan (euforia) tetapi ianya merupakan keseronokan palsu dan kesan buruk yang dialami adalah lebih teruk sehingga boleh mengakibatkan gila dan kematian.
Dadah Pemusnah

Thursday, November 27, 2014

Hikmah Dari Penjara


Sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya dan kita perlu terus memandang kehadapan demi meneruskan kehidupan. Jadikan sejarah silam  sebagai panduan atau motivasi diri  untuk terus maju.

Setiap daripada kita pastinya mempunyai pengalaman suka  duka dalam kehidupan dan ianya berbeza diantara satu dengan yang lain. Tidak kira samada ianya pengalaman pahit atau manis, semuanya merupakan asam garam yang sewajarnya menjadi kenangan yang boleh diabadikan sampai bila-bila.

Dikesempatan kali ini Udin ingin membawakan sedikit iktibar dan pengalaman yang sudi dikongsi oleh saudara kita yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah. (Rujukan : Harian Metro 25 Nov 2014) Sebahagian daripada kita kenal dengan penyanyi Ameng dari kumpulan Spring. Popular dengan lagu Sampai Hati, Romantis, Kita ditakdirkan jatuh cinta, Butakah cinta, Bourgenvilla dan banyak lagi lagu-lagu beliau yang telah menaikkan namanya dipersada seni. Pada masa ini saudara Ameng masih bergelar penghuni tirai besi kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Apa yang menarik untuk dikongsi  adalah semangat  yang ditunjukkan oleh Ameng semasa berada di sebalik tirai besi untuk memperbaiki diri dan bergiat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak penjara dan beliau bertekad untuk menjadi seorang ahli motivasi dan sudi berkongsi pengalaman yang dilalui selama ini. Berikut adalah petikan dari kata-kata Ameng ......

“Insya-Allah apabila keluar dari penjara nanti saya berhasrat nak beralih ke bidang motivasi selain menyanyi. Saya akan ceritakan semua pengalaman awal saya bagaimana boleh terjebak dengan dadah” – Ameng

Apa yang menarik untuk dikongsi daripada kisah Ameng adalah kejujuran dan kesediannya untuk berkongsi pengalam serta liku-liku hidup yang telah dilaluinya sepanjang menjadi anak seni sehinggalah ia keluar daripada tirai besi kelak dan apa yang lebih penting adalah ia berani menghadapi kenyataan dan tidak lari daripada masalah yang ada. Sama-samalah kita berdoa agar perjalanan hidup saudara Ameng dipermudahkan dan marilah kita terus memberikan sokongan atas niat sucinya demi melihat kehidupan yang lebih baik buat dirinya dan insan-insan yang senasib dengannya. Udin juga ingin kongsikan sebahagian daripada bait-bait lirik lagu yang bertajuk  Sejujur manakah kata-kata nyanyian Ameng yang boleh dikaitkan dengan kehidupan yang berlaku dalam dirinya.

 Pengalaman telah mendewasakan,
 mematangkan fikiran,
 pahit getir yang pernah kulalui,
 guruku sejati,

Sebenarnya ramai daripada kita yang tidak sedar kewujudan insan-insan berhati mulia yang sudi menghambakan diri membantu insan-insan lain yang senasib dengannya. Melalui pengalaman Udin melawat pusat-pusat rawatan dan pemulihan dadah yang dikendalikan oleh pihak NGO atau individu, kebanyakan daripada tenaga kerja mereka adalah rakan-rakan senasib yang telah pulih sepenuhnya daripada penagihan. Mereka menjadi rakan dan pembimbing kepada kumpulan-kumpulan yang mahukan perubahan dalam hidup setelah tergelincir dalam penagihan. Apa yang meraka harapkan adalah penerimaan orang yang berada disekeliling agar mereka terus berada dalam kelompok keluarga dan masyarakat serta sama-sama memberikan sumbangan dan berperanan dalam kehidupan seharian. Sebagai ahli masyarakat, marilah kita sama-sama menerima semula kehadiran kumpulan ini secara terbuka serta jauhkan daripada stigma kesalahan lampau mereka supaya mereka ini terus mempunyai kekuatan diri untuk sama-sama berada dalam masyarakat.




Spring  : Sejujur manakah kata-kata

 Sejujur mana ikhlasnya hati
 ketika lembut senyum diberi
 apakah ada tujuan...
 sebalik senyuman itu...

 Sejujur manakah kata-kata
 ketika kita bertentang mata
 boleh kah aku percaya
 mungkin itu satu sandiwara
 kerana sering
 pengucapan zahir batin tak seiring
 ada rasa ada jiwa
 terluka hilang rasa percaya

 Pengalaman telah mendewasakan
 mematangkan fikiran
 pahit getir yang pernah kulalui
 guruku sejati

 Bukan dirimu ku curigai
 aku sekadar berhati-hati...
 tidak rela bakal ada yang kecewa...
 biar waspada.



Jauhi Dadah....

Tuesday, November 11, 2014

PREVENT 2014


Assalamulaikum WBKT dan Salam Sejahtera…

            Agak lama Udin tidak update blog ini disebabkan kesebokan tugas dan aktiviti seharian yang perlu dijalani dan tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, dikesempatan yang terluang, Udin tetap memperuntukkan sedikit masa untuk mengumpul bahan-bahan dan juga material yang akan Udin kongsikan bersama nanti.

Dikesempatan kali ini Udin ingin berkongsi sedikit pengalaman yang udin perolehi semasa menghadiri Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah 2014 (PREVENT 2014). Seminar ini telah diadakan pada 15-16 Oktober 2014 bertempat di Universiti Sains Malaysia (USIM). Seminar yang bertemakan “Amalan Bersepadu Dalam Pencegahan Dan Pemulihan Penyalahgunaan Dadah” adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap profesionalisme kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aspek pendidikan pencegahan dan rawatan pemulihan. Ianya juga menjadi medium perkongsian idea dan pengalaman dalam membincangkan isu-isu pencegahan dan rawatan pemulihan dadah di negara ini.

Sepanjang seminar ini berjalan beberapa pembentangan kertas kerja  oleh mereka yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing telah dibuat terutamanya ahli akademik dan juga pengusaha pusat rawatan dan pemulihan. Banyak ilmu dan idea dapat dikongsi dalam menangani masalah penagihan dan rawatan.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendalami ilmu dan ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program yang serupa pada masa hadapan, bolehlah berhubung dengan pihak penganjur kerana Udin difahamkan program seumpama ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh pihak universiti.
Hubungi Acreda
PEJABAT PENTADBIRAN ACREDA
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA
BANDAR BARU NILAI, 71800 NILAI
NEGERI SEMBILAN
TEL: 06-798 8700/8708/8690/8421
FAX: 06-798 8699
EMAIL:
info.acreda@usim.edu.my Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.


Apa yang penting bagi Udin adalah perlunya kerjasama semua pihak dalam menangani masalah penagihan dan pemulihan. Tidak kira samada peranan seseorang itu besar atau kecil, ianya adalah perlu bagi menjamin kejayaan sesuatu program yang  dijalankan ibarat kata pepatah melayu “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu sama-samalah kita mengembeling tenaga bagi membenteras gejala ini seterusnya membantu mereka-mereka yang telah tergelincir di lembah penagihan untuk kembali kepangkal jalan.

 



 
Katakan Tidak Pada DADAH.....