Entry kali ini Udin akan membicarakan dengan serba ringkas tentang Rawatan
Terapi Gantian Menggunakan Methadone yang mana ianya merupakan alternatif pengganti
kepada pengambilan dadah jenis opiod (heroin
& morphine) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
Secara umumnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf penagihan dadah sebagai sejenis penyakit
kronik dan berulang, sehubungan dengan
itu pelbagai usaha telah digerakkan bagi mengenalpasti rawatan yang lebih
berkesan untuk membantu penagih dadah mengatasi ketagihan yang mereka alami.
Memandangkan penagihan dadah jenis opiod amatlah meluas di seluruh dunia pada
tahun-tahun 50’an terutamanya di kalangan veteran Amerika Syarikat yang kembali
dari peperangan di Asia Tenggara pada tahun 50’an dan 60’an, usaha untuk
mencari rawatannya dilipatgandakan. Pada tahun 1950’an, Dr Dole dan Nyswander
menemui methadone dan seterusnya membuktikan secara saintifik bahawa ia mampu
mengawal serta mengurangkan penggunaan dadah jenis opiod. Dengan penemuan ini,
Rawatan Terapi Gantian (RTG) atau lebih dikenali dengan Methadone Maintenance
Therapy (MMT) mula digunapakai di seluruh dunia. Di Malaysia Pelaksanaan
Program Rawatan Terapi Gantian menggunakan methadone bermula pada bulan Oktober
2005. Tujuan utama Program Terapi Gantian methadone adalah untuk meningkatkan
tahap kesihatan dan kualiti hidup penagih dadah. Secara khususnya, program ini
adalah bertujuan untuk :-
i. Mengurangkan kadar penagihan semula di kalangan penagih dadah
terutama sekali yang tegar;
ii. Meningkatkan tahap kecergasan mental dan fizikal;
iii. Mengurangkan kejadian jangkitan penyakit di kalangan
penagih dadah yangberkongsi jarum suntikan;
iv. Meningkatkan fungsi psikososial di kalangan penagih dadah
termasuk keupayaan mereka untuk mendapat dan mengekalkan mutu kerja serta
meningkatkan keyakinan diri untuk kembali ke dalam masyarakat yang mana
akhirnya nanti ianya dapat memberi
satu harapan kepada penagih dadah tegar agar mereka dapat kembali berfungsi
secara normal, mempraktiskan gaya hidup sihat dan menjadi lebih produktif dalam
masyarakat.
Program Rawatan Terapi Gantian menggunakan methadone dilaksanakan oleh Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM). Ianya boleh diperolehi di AADK, klinik kesihatan terpilih dan klinik
swasta yang tertentu sahaja. Dalam program ini, penagih perlu hadir mendaftar
di klinik yang berkaitan dan akan mengambil methadone setiap hari mengikut
sukatan yang telah ditentukan oleh doktor. Program ini akan berlanjutan
mengikut suatu tempoh masa tertentu sehinggalah penagih telah benar-benar pulih
dan tidak bergantung kepada methadone sepenuhnya. Program terapi gantian ini
adalah hanya untuk penagih dadah jenis opiod sahaja (heroin & morphine) dan
bukan lain-lain jenis dadah. Ianya merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan
oleh pihak kerajaan bagi membantu penagih dadah jenis ini kembali dari
penagihan.
Kepada mana-mana pihak yang memerlukan
keterangan lanjut berkaitan program ini, silalah hadir ke pejabat AADK yang
berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut dan khidmat nasihat yang betul. Bantulah
mereka yang telah terlibat dengan penagihan ini kembali semula menjadi
sebahagian daripada ahli keluarga dan masyarakat kita.
Methadone syrup
Katakan TIDAK pada dadah.....
nak link video malaysia hiv tu boleh?
ReplyDelete