Dadah bukanlah perkara baru kepada
kehidupan seharian manusia kerana saban hari kita terlibat dalam penggunaan
dadah berbentuk ubat ubatan yang dibenarkan atau mendapat maklumat berkaitan peristiwa
yang berlaku melibatkan dadah terlarang. Mengikut sumber sejarah, dadah
dikaitkan dengan alam fantasi oleh masyarakat zaman dahulu dan menjadi sumber
keseronokan atau hiburan tetakala tiada aktiviti yang hendak dilakukan selepas
penat daripada bekerja. Mereka hanya mencari keseronokan tanpa mengetahui keburukan akibat pengambilannya
terutama ketagihan yang amat sukar untuk dipulihkan.
Di Malaysia, penyalahgunaan dan
penagihan dadah berkait rapat dengan sejarah dan penjajahan Inggeris di Tanah
Melayu. Sejak awal abad ke 19 penjajah
Inggeris mula meneroka lombong-lombong bijih timah, membuka ladang getah
secara besar-besaran dan memerlukan tenaga buruh yang ramai. Oleh kerana kekurangan
tenaga buruh, pekerja Cina telah dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong
bijih timah dan pekerja India dibawa masuk untuk bekerja di ladang-ladang
getah. Buruh asing ini terutamanya pekerja cina telah mengenali dan mengambil
dadah sejak dari negara asal mereka bagi memenuhi masa lapang untuk berseronok
dan berkhayal. Kebanyakan mereka ini mengambil candu yang begitu mudah
diperolehi dari negara asal mereka. Penagihan candu dikalangan buruh cina telah
mula ketara dan menimbulkan masalah apabila berlaku kemasukan candu dari negara Cina ke Tanah
Melayu dalam bilangan yang banyak serta kian meningkat sehingga sukar untuk
dikawal.
Pada tahun 1910
kerajaan Inggeris telah mengambil alih tugas mengawal kemasukan candu.
Kedai-kedai-kedai menjual candu dan rumah-rumah menghisap candu “Opium Dens”
telah dilesen dan didaftarkan termasuklah juga dengan penagih-penagih candu.
Kerajaan juga telah mengenakan cukai keatas aktiviti ini sehinggalah kedai-kedai
ini dikenali sebagai “Kedai Candu Kerajaan” atau “Pajak Candu”. Pada tahun 1925 selepas konvensyen Geneva,
perdagangan candu dihadkan hanya kepada penagih candu yang berdaftar sahaja. Pada tahun 1929, terdapat 73,000 penagih candu berdaftar di
negeri-negeri Selat dan 52,313
di Negeri-Negeri Bersekutu. Pada 1934, tindakan yang lebih drastik telah diambil, dimana hanya
penagih candu yang telah disahkan oleh pegawai perubatan sahaja dibenarkan membeli
candu dan pada 1945, telah dikuatkuasakan larangan melalui undang-undang.
Selepas perang dunia kedua, kerajaan Inggeris terpaksa mengharamkan sama
sekali penjualan dan pengendaran candu dimana kesan daripada tindakan ini telah
menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan candu. Kerajaan Inggeris terpaksa
mengambil tindakan yang lebih serius untuk mengharamkan kegiatan menjual dan
menghisap candu dengan lebih berkesan iaitu dengan mewujudkan Akta
Dadah Berbahaya yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1952. Mengikut akta
ini, sesiapa yang memiliki dan menghisap candu melakukan suatu kesalahan dan
mahkamah khas ditubuhkan bagi mengendalikan kes-kes melibatkan candu dimana
hakim yang bertugas dikenali sebagai Hakim Mahkamah Candu.
Trend penagihan telah bertukar corak pada akhir tahun 1960an dimana sebelum
ini penagihan candu hanya tertumpu kepada golongan tua sahaja, tetapi selepas
akhir tahun 1960an golongan belia telah mula melibatkan diri dengan penagihan
yang yang berlainan daripada candu iaitu mereka mula menagih heroin, morfin,
ganja dan pil-pil psikotrapik. Keadaan ini berlaku disebabkan kemasukan
pengaruh budaya barat melalui pengaruh kumpulan-kumpulan muzik barat yang
mengamalkan pengambilan dadah terlarang. Sebagaimana diketahui, segitiga emas “Golden Triangle” melibatkan
negara-negara di utara Thailand merupakan negara pengeluar popi terbesar dimana
terdapat askar-askar Amerika yang terlibat dengan peperangan di Vietnam telah
menghabiskan cuti di Malaysia dan membawa masuk dadah untuk mengurangkan
tekanan yang dialami. Mereka juga
diketahui memperkenalkan dadah kepada belia di Malaysia dan setelah peperangan
di Vietnam tamat sindikit pengedaran dadah telah mula mencari pasaran baru di
Asia Tenggara termasuklah Malaysia untuk mencari keuntungan.
Fakta di atas merupakan catatan sejarah
bagaimana dadah boleh berada di Malaysia yang Udin perolehi melalui pembacaan
buat maklumat semua. Pada entri yang lain nanti Udin akan menulis tentang tren
penyalahgunaan dadah masa kini yang semakin membimbangkan kerana kebanyakan
dadah yang disalahguna merupakan dadah jenis sintetik yang mana kesannya lebih
bahaya daripada dadah berbentuk tradisional.
Golden Triangle
Dikesempatan ini juga Udin juga ingin
berkongsi maklumat melalui video di bawah iaitu pengalaman semasa berada di muzium Hall of Opium yang sempat
Udin lawati. Kepada rakan pembaca,
sekiranya berpeluang ke Chiang Rai Thailand nanti jangan lepaskan peluang untuk
mengunjungi muzium ini. Banyak maklumat tentang sejarah awal kemasukan dan pengambilan
dadah jenis opiod dipamirkan dan ianya merupakan suatu pengalaman yang sangat
menarik dan berfaedah yang boleh
diperolehi di muzium ini. Selain itu Udin juga kongsikan bagaimana pokok popi
ditanam dengan meluasnya di kawasan Golden Triangle.
Muzium Hall Of Opium
Ladang popi