Artis
dan dadah kelihatannya agak sinonim walaupun ianya tidak melibatkan semua. Di Malaysia terdapat ramai artis,
tetapi bilangan yang terlibat dengan dadah boleh dikira dengan jari. Ini
bermakna stigma artis dan dadah hanyalah kes yang terpencil. Berbanding dengan
artis barat, bezanya adalah belum ada artis di negara kita yang meninggal dunia
disebabkan pengambilan dadah secara berlebihan dan kita berdoa ianya tidak
berlaku. Sebagaimana kita sedia maklum terdapat ramai artis terkenal barat yang
meninggal dunia disebabkan overdose.
Minggu
ini seorang lagi artis popular negara kita ditangkap kerana terlibat
dalam penyalahgunaan dadah. Walaupun mahkamah masih belum memutuskan kesnya,
namun apa yang menyedihkan adalah kerana bertambah lagi bilangan artis Malaysia
yang ditangkap terlibat dengan najis dadah. Artis merupakan ikon kepada golongan muda
mudi di negara kita. Sekiranya perlakuan artis ini diikuti oleh golongan muda
yang suka untuk mencuba sesuatu yang baharu, nescaya ianya akan merosakkan anak
muda itu sendiri.
Bila
berbicara tentang artis dan dadah, ada satu mitos yang sememangnya selalu
disebut iaitu kalau tidak mengambil dadah, sukar untuk berhadapan dengan
penonton, sukar untuk berkarya dan tidak ada keyakinan diri untuk membuat
pertunjukan atau persembahan dan perkara sebegini pernah disebut oleh seorang
wartawan tabloid yang dapat menghidu perlakuan segelintir artis ini.
Mitos
sebegini perlu dibuang dan dielakkan. Di Malaysia, kita lihat ramai artis terutamanya
wanita yang telah berjaya mencipta nama dipersada seni tanahair tetapi mereka
ini bersih dari penyalahgunaan dadah kerana setakat hari ini masih belum ada
artis wanita kita yang ditangkap terlibat dengan dadah.
Dalam
entri terdahulu, pernah Udin sebutkan bahawa apabila seseorang mula mengambil
dadah, mereka telah meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada dadah kerana mind set atau psikologi mereka telah
terikat kepada keseronokan dan kebergantungan. Sebab itulah artis yang telah
mula terlibat dengan dadah, mereka merasakan ada kekurangan jika tidak
mengambil dadah dan kita juga lihat sejarah pengambilan oleh artis ini dimana
mereka telah mengambil dadah sejak bertahun lamanya malah ada diantaranya yang masih mengulang atau relapse walaupun telah ditangkap beberapa kali. Sebenarnya inilah
perkara yang berlaku kepada setiap pengguna dadah, kesan psikologi inilah yang menyebabkan seseorang penagih itu sukar
untuk kembali ke pangkal jalan.
Tidak
ada jalan mudah untuk merawat penagih kerana mereka adalah pesakit yang perlu
dirawat menggunakan kaedah yang betul dan perlu mengikuti disiplin yang telah
ditetapkan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada mengubat kerana sekali
terlibat dengan dadah, ianya akan menghadirkan
kesengsaraan selamanya.
Hidup
Tanpa Dadah…..