Suatu waktu dahulu mereka
selesa dengan kehidupan yang ada. Tidur di bilik berhawa dingin dengan tilam
yang empuk dan berjenama, mempunyai keluarga yang sangat bahagia serta dikelilingi
orang-orang tersayang. Namun, segalanya tinggal kenangan. Hakikatnya kini mereka
hanya mampu tidur berlantaikan simin dan beralaskan kotak serta beratapkan
langit semulajadi nan indah. Sambil ditemani sang nyamuk, lipas dan tikus yang
sama-sama menumpang dan menhgabiskan sisa-sisa hidup dimuka bumi Allah ini.
Beginilah situasi gelandangan
yang ada dinegara kita terutama di ibukota. Jika ditanya, inikah kehidupan
yang mereka mahukan. Sudah pasti jawapannya tidak, namun apakan daya, hanya ini yang
termampu untuk dilakukan.
Menyelusuri lorong-lorong kaki
lima dihuni gelandangan, kita boleh menyelami kisah kehidupan mereka. Hidup
ibarat pepatah “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” bagi meneruskan
kesinambungan hidup yang berbaki entah berapa lama lagi. Walaupun begitu mereka
masih tetap bersyukur kerana saban waktu akan hadir insan-insan berhati mulia
melalui badan-badan NGO yang sudi menghulur tangan memberi bantuan makanan buat
mengisi perut bagi meneruskan kehidupan
sehingga esok yang belum pasti lagi ketentuannya.
Berkongsi penceritaan bersama
gelandangan seharusnya membuatkan kita insaf tentang kehidupan yang memang
belum pasti akan penghujungnya. Sedikit kealfaan dan salah langkah menjadikan
mereka hidup sebagai gelandangan. Jika dilihat, rata-rata gelandangan adalah
mereka yang terlibat dengan gejala penagihan dadah walaupun bukan semunya
begitu. Mereka bekerja disiang hari sekadar yang termampu untuk membeli makanan
dan selebihnya membeli bahan terlarang, manakala keperluan tempat tinggal dan
yang lain tidak dapat ditampung dengan pendapatan yang ada. Mereka lebih selesa
tidur di kaki lima atau bawah jejantas serta pergi ke tandas awam atau masjid
untuk membersihkan diri. Begitulah kehidupan harian mereka yang tidak pasti
akan penghujung atau pengakhirannya.
Sebagai seorang yang tidak
ingin menjadi penyumbang kepada statistik gelandangan ini, marilah kita sama-sama
memperkasakan diri dengan ilmu dan amal yang sewajarnya supaya kita tidak
menjadi sebahagian daripada mereka. Hindarkan diri dari
terjebak dalam kancah penagihan yang boleh membawa kita menjadi gelandangan.
Andai ada ruang masa, bantulah mereka sedaya yang mampu dan dengarkan rintihan
hati kumpulan ini untuk dijadikan tauladan dan sempadan kepada kita dan orang
yang kita sayangi.
HINDARKAN DIRI ANDA DARI DADAH….