Saturday, January 24, 2015

Artis dan Dadah

Artis dan dadah kelihatannya agak sinonim walaupun ianya tidak melibatkan semua. Di Malaysia terdapat  ramai artis, tetapi bilangan yang terlibat dengan dadah boleh dikira dengan jari. Ini bermakna stigma artis dan dadah hanyalah kes yang terpencil. Berbanding dengan artis barat, bezanya adalah belum ada artis di negara kita yang meninggal dunia disebabkan pengambilan dadah secara berlebihan dan kita berdoa ianya tidak berlaku. Sebagaimana kita sedia maklum terdapat ramai artis terkenal barat yang meninggal dunia disebabkan overdose.



                        
Minggu ini seorang lagi artis  popular negara kita ditangkap kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Walaupun mahkamah masih belum memutuskan kesnya, namun apa yang menyedihkan adalah kerana bertambah lagi bilangan artis Malaysia yang ditangkap terlibat dengan najis  dadah. Artis merupakan ikon kepada golongan muda mudi di negara kita. Sekiranya perlakuan artis ini diikuti oleh golongan muda yang suka untuk mencuba sesuatu yang baharu, nescaya ianya akan merosakkan anak muda itu sendiri.

Bila berbicara tentang artis dan dadah, ada satu mitos yang sememangnya selalu disebut iaitu kalau tidak mengambil dadah, sukar untuk berhadapan dengan penonton, sukar untuk berkarya dan tidak ada keyakinan diri untuk membuat pertunjukan atau persembahan dan perkara sebegini pernah disebut oleh seorang wartawan tabloid yang dapat menghidu perlakuan segelintir artis ini.
                                    



Mitos sebegini perlu dibuang dan dielakkan. Di Malaysia, kita lihat ramai artis terutamanya wanita yang telah berjaya mencipta nama dipersada seni tanahair tetapi mereka ini bersih dari penyalahgunaan dadah kerana setakat hari ini masih belum ada artis wanita kita yang ditangkap terlibat dengan dadah.


Dalam entri terdahulu, pernah Udin sebutkan bahawa apabila seseorang mula mengambil dadah, mereka telah meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada dadah kerana mind set atau psikologi mereka telah terikat kepada keseronokan dan kebergantungan. Sebab itulah artis yang telah mula terlibat dengan dadah, mereka merasakan ada kekurangan jika tidak mengambil dadah dan kita juga lihat sejarah pengambilan oleh artis ini dimana mereka telah mengambil dadah sejak bertahun lamanya malah ada diantaranya  yang masih mengulang atau relapse walaupun telah ditangkap beberapa kali. Sebenarnya inilah perkara yang berlaku kepada setiap pengguna dadah, kesan psikologi  inilah yang menyebabkan seseorang penagih itu sukar untuk kembali ke pangkal jalan.



Tidak ada jalan mudah untuk merawat penagih kerana mereka adalah pesakit yang perlu dirawat menggunakan kaedah yang betul dan perlu mengikuti disiplin yang telah ditetapkan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada mengubat kerana sekali terlibat dengan dadah, ianya akan menghadirkan  kesengsaraan  selamanya.


Hidup Tanpa Dadah…..

No comments:

Post a Comment